Imej Bertudung, Isyariana Akui Sedang ‘Struggle’

SEDANG menyesuaikan diri dengan memakai tudung, pelakon, Isyariana, 35, enggan meletakkan sebarang janji terhadap imej terbaharunya kerana risau hati masih berbolak balik.

Menurut pemilik nama lengkap Isyariana Che Azmi, dia terdetik untuk berhijab selepas pulang daripada mengerjakan ibadah umrah beberapa hari lalu.

“Saya tak berani untuk berikan sebarang kata muktamad dengan imej bertudung yang sekarang, kerana risau akan makan diri saya semula kelak.

“Saya takut tak istiqamah sebab saya sedang ‘struggle’ juga. Tak boleh nak jawab ditambah dengan tawaran lakonan yang akan diterima kelak juga bagaimana.

“Saya pun baru sahaja memakai tudung, baru beberapa hari sejak pulang dari mengerjakan umrah. Tapi dalam hati timbul perasaan segan kalau tidak bertudung.

“Apabila memakai tudung, perasaan saya sangat seronok dan rasa tenang, apa pun saya cuba yang terbaik untuk diri sendiri,” katanya.

Berkongsi lanjut, Isyariana memberitahu niat untuk berhijab sudah lama disimpan, namun percaya setiap yang terjadi perlu izin Ilahi.

“Niat untuk memakai tudung sudah lama saya simpan, cumanya untuk kekal istiqamah bukan satu perkara yang mudah.

“Saya juga ada beberapa tawaran drama yang menuntut untuk ‘freehair’ sebelum ini, jadi nak atau tidak kena buka tudung.

“Buat masa sekarang, saya berehat dulu daripada berlakon sepanjang Ramadan. Untuk sehingga kini, beginilah imej (bertudung) saya,” tuturnya.

Related post

Leave a Reply