HYBE Diserbu Polis Berikutan Dakwaan Manipulasi Saham oleh Bang Si Hyuk

Ibu pejabat HYBE di Korea Selatan diserbu secara besar-besaran oleh pihak polis sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap pengasas syarikat itu, Bang Si Hyuk, yang didakwa terlibat dalam urus niaga saham secara penipuan.

Menurut pihak berkuasa, Bahagian Siasatan Jenayah Kewangan dari Polis Metropolitan Seoul telah memperoleh waran geledah selama sebulan yang sah hingga 16 Ogos (waktu KST).

Waran tersebut turut mengandungi klausa luar biasa yang membenarkan pelaksanaan serbuan pada waktu subuh dan selepas matahari terbenam, sekali gus mengetepikan sekatan biasa di bawah Artikel 125 Akta Tatacara Jenayah.

Skop serbuan itu juga digambarkan sebagai sangat luas iaitu merangkumi pejabat pengerusi, sekretariat, jabatan kewangan, perakaunan, dan perundangan, termasuk mana-mana jabatan lain yang mungkin menyimpan bahan berkaitan.

Bang disyaki telah mengelirukan pelabur awal pada tahun 2019, sebelum penyenaraian awam HYBE, dengan didakwa mendakwa tiada perancangan untuk IPO, sambil pada masa yang sama mengatur penjualan saham syarikat kepada entiti tujuan khas (special purpose entity) yang mempunyai kaitan dengan firma ekuiti persendirian miliknya sendiri.

Pihak berkuasa percaya bahawa serbuan agresif ini mencerminkan pendirian tegas pentadbiran semasa terhadap manipulasi pasaran.

Bulan lalu, Presiden Lee Jaemyung menegaskan keperluan penguatkuasaan yang ketat dengan berkata: “Kita mesti nyatakan dengan jelas bahawa memanipulasi pasaran saham Korea akan membawa akibat yang amat dahsyat,” katanya seperti dilaporkan Allkpop.

Walaupun polis telah mengesahkan bahawa serbuan di ibu pejabat HYBE di Yongsan kini telah berakhir, siasatan masih diteruskan dengan kerjasama Polis Kehakiman Khas Suruhanjaya Penyeliaan Kewangan dan pihak pendakwaan.

Related post

Leave a Reply