Harga Tiket Mampu Milik, Ella Pilih Stadium Nasional Bukit Jalil

Harga Tiket Mampu Milik, Ella Pilih Stadium Nasional Bukit Jalil

Mengubat kerinduan peminat, Ratu Rock Malaysia, Ella, mengumumkan bakal mengadakan konsert berskala besar di bawah nama Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai simbolik penguasaannya kepada industri muzik tanah air.

Konsert ikonik ini bakal berlangsung pada tarikh istimewa 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, lokasi yang pernah menjadi saksi detik bersejarah dalam kerjaya seni Ella.

Dianjurkan oleh penganjur acara ternama, Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert ini akan menjadi antara projek terbesar mereka sebagai penghargaan kepada legasi hebat Ella, serta sebagai simbol penyatuan, peminat, penggiat seni dan seluruh peminat.

Konsert ini mengangkat tema “Peace, Love & Rindu” yang mengambil tiga nilai kemanusiaan yang dibawa Ella bukan sekadar sebagai konsep persembahan, tetapi juga sebagai gerakan yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

Menurut Ella, pemilihan nama Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sekadar simbolik dan gelaran umumnya sebagai ratu rock, tetapi juga sebagai satu wadah untuk memberi impak yang lebih bermakna.

“Saya akan mencapai usia 60 pada tahun 2026 dan sudah tentu saya ingin memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan. Majlis Tertinggi Rockqueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahukan ‘Peace, Love & Rindu’,” ujar Ella.

Dalam konsert ini, “Peace” melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, “Love” pula mengacu kepada isu buli merujuk pada institusi pendidikan di Malaysia, manakala “Rindu” didedikasi kepada insan-insan penggiat seni tanah air yang sentiasa berkarya demi industri.

Setiap tiket konsert yang dibeli, RM2 akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Berbeza dengan kebanyakan konsert berskala besar lain, kami memilih agar majlis ini bakal menjadi konsert buat rakyat, dengan harga tiket yang mampu milik dan terjangkau buat semua lapisan peminat untuk dapat hadir.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, konsert ini tidak akan menjadi acara hiburan semata-mata sebaliknya menekankan konsert ‘give back to the people’.

“Kerana itu kami memilih lokasi besar dengan pilihan harga tiket yang murah namun tidak menafikan pengalaman luar biasa pengunjung konsert, juga sajian audio visual bermutu buat semua yang hadir.

Setiap pembelian tiket akan dikehendaki untuk mengundi dan memilih tabung sumbangan pilihan mereka sama ada Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara) atau Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair) pada waktu pembelian.

“Setiap pilihan dan undian mengikut tema tersebut, organisasi berkaitan akan menerima sumbangan RM2 bagi setiap pilihan undian melalui tiket yang dibeli,” jelas Rohit.

Jelas Ella pula, beliau mengakui sudah lama tidak tampil di pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil dan melihat cabaran ini sebagai suntikan azam dan pembakar semangatnya.

Beliau juga berkongsi bagaimana semangat seni yang membara membantu dirinya mengekalkan momentum selama hampir 40 tahun berkarya, sebuah ketabahan yang hanya dimiliki seorang ratu yang tulus mencintai seni, penggemar dan penontonnya.

“Harapan saya cuma agar, konsert ini mampu memberi sumbangan sebaiknya kepada pertubuhan amal yang terlibat. Manakala generasi muda kelak akan lahir cemerlang dan berjaya manakala para seniman mampu terus berkarya dan terbela pesannya manja.

“Jangan lupa undi ‘Peace, Love atau Rindu’, dan jumpa di Majlis Tertinggi Rockqueen nanti,” tambahnya.

Related post

Leave a Reply