Hafiz Suip Sah Bercerai Talak Satu

Menamatkan teka-teki, penyanyi Hafiz Suip, 35, mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isteri, Nureffy Jasreel di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.

Pemilik nama lengkap Mohamad Hafiz Mohamad Suip memaklumkanhak jagaan dua anaknya buat masa ini diberikan sepenuhnya kepada isteri.

“Saya ingin maklumkan secara rasminya, saya sudah pun bercerai dengan isteri saya. Kami berpisah pada 29 Mei lalu.

“Anak-anak dijaga oleh bekas isteri saya kerana saya fikir secara rasionalnya, seorang ibu lebih layak menjaga anak-anak,” katanya yang ditemui di satu sidang media pada Isnin.

Meskipun hubungan suami isteri sudah terlerai, pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu mengakui masih menjaga hubungan baik dengan bekas isteri.

“Setiap hari saya terfikir tentang anak-anak saya. Kadang nak telefon, tapi faham anak-anak bersekolah dan ada jadual sendiri.

“Sekarang saya dan bekas isteri sedang berbincang tentang pengurusan anak-anak. Bila giliran saya mahu berjumpa anak-anak dan sebagainya,” luahnya lagi.

Imbas kembali, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.

Related post

Leave a Reply