G-Dragon Bakal Berkongsi Tentang Hal Perkahwinan Dalam Masa Terdekat?

Anggota kumpulan Big Bang, G-Dragon, bakal tampil dalam program Sohn Suk Hee’s Questions musim ketiga terbitan MBC, di mana dia akan berbicara tentang topik-topik yang tidak dijangka, termasuk perancangannya untuk mendirikan rumah tangga.

Baru-baru ini, MBC menyiarkan sedutan untuk episod ke-9 program itu yang akan ditayangkan pada 29 Oktober nanti.

Sedutan tersebut dibuka dengan narasi wartawan Sohn Suk Hee yang memperkenalkan G-Dragon sambil berkata: “Kehadiran individu ini dalam dunia K-pop benar-benar luar biasa,” katanya.

Dalam sedutan ringkas itu, G-Dragon berkata, “Saya hampir mencecah usia 40 tahun,” sebelum Sohn terus bertanya, “Jadi bila awak nak berkahwin?” G-Dragon kemudian memberi sedikit bayangan tentang perancangannya, namun bahagian tersebut sengaja disunting.

Sohn kemudian membalas, “Jadi kamu sebenarnya sudah merancang semuanya,” sekali gus menimbulkan rasa ingin tahu penonton mengenai jawapan penuh G-Dragon.

Selain isu perkahwinan, G-Dragon dijangka berkongsi tentang kehidupannya dan perjalanan kerjaya selepas melalui fasa sukar. Beliau berkata, “Dalam hidup saya, akhirnya saya mampu memulakan semula selepas berhenti seketika.”

Sohn Suk Hee juga dilihat akan menyentuh sisi peribadi G-Dragon apabila beliau bertanya, “Sebagai Kwon Ji Yong, insan biasa, apa yang kamu mahu lakukan?” G-Dragon sambil bergurau menjawab, “Buat masa ini, saya memutuskan untuk hadir ke rakaman ini dan…”

Untuk rekod, Sohn Suk Hee ialah seorang wartawan terkenal Korea Selatan yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah dan Presiden JTBC serta JTBC Studios dari 2020 hingga 2021. Program Sohn Suk Hee’s Questions terkenal dengan soalan-soalan mendalam kepada tetamu dari pelbagai latar belakang.

Sumber: Allkpop

Related post

Leave a Reply