TrendingViral

Fizi Ali Tutup Buku Isu Tak Maklum Perkembangan Anak Ketika Di Makkah

Pengacara dan penyampai radio, Fizi Ali, 36, memilih untuk menutup terus episod salah faham yang tercetus ketika dia menunaikan umrah bersama anaknya, Ameena Sofia, baru-baru ini.

Isu itu hangat diperkatakan selepas bekas isterinya, aktres, Shakilla Khoriri mendakwa tidak mendapat khabar daripada Ameena selama sembilan hari.

Menurut Fizi, kejadian itu benar-benar mengejutkannya kerana hubungan komunikasi antara kedua-dua pihak sebelum ini sentiasa berjalan lancar, termasuk ketika masing-masing membawa Ameena bercuti.

“Saya sendiri terkejut bila hal seperti ini berlaku di Tanah Suci, tetapi mungkin ada khilafnya daripada saya.

“Jadi saya ingin memohon maaf jika ada pihak yang terasa hati atau menganggap saya tidak bertanggungjawab. Saya susun sepuluh jari memohon maaf,” katanya.

Fizi menjelaskan sejak bercerai, mereka sentiasa berkomunikasi dengan jelas mengenai urusan anak dan tidak pernah timbul isu jika mana-mana pihak mahu menghubungi Ameena.

“Sebenarnya sebelum ini tak ada apa-apa masalah pun. Kami memang berhubung. Bila saya bawa Ameena bercuti, ada saja dia mesej nak telefon dan sebagainya. Tiada isu.

“Jadi saya ingat keadaan itu akan kekal begitu. Tapi saya tak tahu kenapa tiba-tiba keluar status semasa saya berada di Tanah Suci,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai situasi ketika berada di Makkah, Fizi berkata jadual umrahnya sangat padat, lebih-lebih lagi apabila isterinya, Siti Zulaikha dan anak bongsu kurang sihat.

“Ini umrah pertama saya. Jadi saya memang tahu jadual akan padat. Isteri dan anak paling kecil pula jatuh sakit. Ada juga yang tanya macam mana sempat saya ‘update’ Instagram Stories, itu pun hujung-hujung saja saya buka telefon.

“Ameena ada saja teringatkan mak dia dan nak belikan sesuatu. Tapi tak adalah sampai mendesak nak telefon. Kami fokus pada ibadah,” katanya.

Tambahnya, salah faham yang berlaku tidak menjejaskan ketenangan ibadah, namun dia percaya isu keluarga lebih molek diselesaikan secara tertutup.

“Saya lebih kepada memaafkan dan meminta maaf kalau ada buat salah. Kalau rasa tak puas hati, boleh mesej saja. Bila jadi besar macam ini, jadi tak seronok. Saya tak pasti kalau ada dakwaan orang ketiga menghasut, tetapi bagi saya hal keluarga perlu diselesaikan secara tertutup.

“Selepas pulang dan hantar anak kepada ibunya, semuanya okey. Jadi saya rasa lebih baik saya mohon maaf dan selesai,” katanya lagi.

Untuk rekod, Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018 sebelum bercerai pada Disember 2021.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ameena Sofia, kini berusia enam tahun.

Shakilla berkahwin dengan Mohd Fariz pada Februari 2024, manakala Fizi pula bernikah dengan Siti Zulaikha pada Oktober 2023.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button