“Fitnah Bermaharajalela Di Media Sosial, Ada Yang Sampai Telanjangkan Orang Lain”

Penerbit dan pengarah, Erma Fatima, 57, meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir netizen yang semakin bebas membuli, menghina serta membuka aib individu lain dalam media sosial.

Pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali menyifatkan kelompok masyarakat itu seperti tiada nilai belas kasihan dan ihsan, seolah-olah merasakan diri mereka cukup sempurna.

“Apa nak jadi dengan mereka yang suka maki hamun, fitnah dan bermaharajalela henyak orang di media sosial? Macam kalian hebat sangat. Ada yang sampai telanjangkan orang lain tanpa ada belas kasihan. Mana pergi ihsan kalian?

“Takkan gelap sangat hati sampai hilang semua rasa simpati? Media sosial sekarang dah jadi macam tempat kenduri kecam dan fitnah,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Prihatin dengan peningkatan kes buli siber, Erma turut menggesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar lebih proaktif dalam membanteras gejala ini.

“Takkan MCMC nak tunggu ada laporan baru nak ambil tindakan? Atau nak tunggu ada yang mati sebab depresi dan penderaan mental, baru nak selidik?

“Tolong tengok-tengok juga yang sedang ‘berkenduri’ buli orang tu. Dengar kata sudah ada akta baru, sebar-sebarkanlah supaya ‘raja-raja kecam’ ini tahu undang-undang dan boleh belajar balik erti ihsan,” luahnya lagi.

Erma turut menjelaskan tegurannya bukan untuk menyinggung mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan agar budaya membuli tidak menjadi norma yang merosakkan masyarakat.

“Jangan sampai satu hari nanti berita penuh dengan kematian akibat buli siber yang melampau. Sesal kemudian tiada guna, macam kes adik Zara Qairina. Saya hanya sekadar mengingatkan,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply