FINAS Akan Kaji Dana Kerjasama Penerbitan Kandungan TV Untuk Pasaran ASEAN
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan dana khusus bagi kerjasama penerbitan format televisyen sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan kepada industri kandungan tempatan serta meneroka potensi pasaran Asean yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, peluasan dana kerjasama penerbitan bagi merangkumi kandungan televisyen dijangka dapat meningkatkan kerjasama dan peluang perniagaan dalam industri kreatif serantau, di samping membuka peluang kepada penerbit Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Daripada 1,800 hingga 2,000 lesen penerbitan yang dikeluarkan setiap tahun, kira-kira 80% syarikat turut menghasilkan kandungan untuk TV dan platform OTT (over-the-top), selain filem untuk tayangan di pawagam.
“Kita telah pun mengumumkan dana kerjasama penerbitan untuk filem, jadi adalah wajar insentif ini diperluaskan kepada keseluruhan sektor, termasuk televisyen.
“Kita akan meneliti perkara ini dan membawanya ke peringkat kementerian,” katanya pada sidang media Sidang Kemuncak Filem dan TV Asean (AFTS) 2025 di sini semalam, seperti yang dilaporkan Bernama.
Beliau menambah bahawa melalui cadangan “dana kerjasama TV” itu, FINAS berharap dapat memperkasakan lagi industri kandungan televisyen Malaysia supaya berkembang dan mampu bersaing di peringkat global, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai pemain utama industri kreatif di rantau Asean.
Azmir Saifuddin turut memaklumkan bahawa kira-kira 200 peserta dijangka mengambil bahagian dalam AFTS 2025 yang akan diadakan di sini dari 28 hingga 30 Oktober.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan tokoh-tokoh utama daripada sektor filem, televisyen dan belia, termasuk penyiar, penerbit dan pembuat dasar dari seluruh Asia Tenggara.
Salah satu acara utama sidang ini ialah Forum Kerjasama Penerbitan, yang direka sebagai platform untuk bertukar idea dan meneroka peluang baharu bagi penerbitan bersama dalam kalangan negara Asean.
Sebagai rakan strategik AFTS, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) juga akan menganjurkan sesi pembentangan projek (pitching), di mana lima penerbit akan menerima manfaat daripada Dana Penyertaan dan Promosi Antarabangsa serta insentif sehingga RM50,000.
“Kita mahu menyokong penerbit ini (yang menerima pembiayaan) dengan membantu mereka menggunakan dana tersebut untuk membentangkan idea mereka di platform antarabangsa seperti festival filem di Busan, Korea Selatan, dan Jogjakarta, Indonesia,” kata Azmir Saifuddin.
