‘Fattah Jaga Amira Baik-Baik, Dia Wanita Solehah’ – Siti Nurhaliza

‘Fattah Jaga Amira Baik-Baik, Dia Wanita Solehah’ – Siti Nurhaliza

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitipkan pesanan penuh makna buat pasangan pengantin baharu, Fattah Amin dan Amira Othman ketika menghadiri majlis resepsi mereka yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam ucapannya, Siti berpesan agar pasangan itu saling menjaga dan menghargai antara satu sama lain sepanjang melayari bahtera rumah tangga mereka.

“Setiap manusia melalui perjalanan hidup yang ada suka dan duka dan semuanya rahsia Allah.

“Pesanan saya, Fattah jaga Amira baik-baik. Dia seorang wanita solehah, insya-Allah akan jadi isteri yang solehah dan Fattah pula pemimpin serta imam yang baik. Saya tumpang bahagia,” katanya.

Menambahkan kemanisan malam tersebut, Siti turut menghadiahkan persembahan istimewa buat pasangan itu bersama penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan, menerusi lagu Seluruh Cinta.

Menurut penyanyi berusia 46 tahun itu, persembahan berkenaan merupakan janji yang pernah dibuatnya kepada Amira sebelum ini.

“Sebenarnya ini kejutan. Saya dan Cakra datang untuk menggembirakan mereka. Saya pernah berjanji dengan Amira, walaupun ketika itu saya belum tahu siapa jodohnya. Saya cakap pada dia, ‘Bila Amira naik pelamin, Mak Iti akan menyanyi untuk Amira’,” ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Siti turut memenuhi permintaan khas pengantin perempuan dengan menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa yang menjadi antara lagu kesukaan Amira.

“Lagu ini permintaan Amira sendiri. Dia minta Kak Iti nyanyi Bukan Cinta Biasa. Malam ini kita raikan cinta dua insan yang benar-benar bukan cinta biasa,” kata Siti.

Untuk info, Fattah dan Amira selamat disatukan pada 14 September lalu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di sebuah resort di Sepang.

Related post

Leave a Reply