Penyanyi Indonesia, Fajar Noor mengakui tidak terkesan dengan kecaman netizen susulan kontroversi cinta yang melanda dirinya baru-baru ini.
Sebaliknya, penyanyi berusia 21 tahun itu memilih untuk terus fokus mengukuhkan kerjaya nyanyiannya.
Pemilik nama sebenarnya Fajar Nurdiansyah berkata, sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kini dalam proses memperbaiki diri.
“Saya lalui semua ini macam orang biasa. Orang cakap apa pun, saya teruskan hidup. Kita semua pernah buat silap. Sekarang saya ambil masa untuk perbaiki diri, cipta karya dan tumpukan pada kerja.
“Buat masa ini, soal cinta saya letak tepi. Saya mahu fokus menulis lagu dan membina kembali perjalanan seni saya,” katanya pada majlis pelancaran lagu Tahta Hatiku #Pendampingmu dan Menjaga Hati.
Meskipun kehilangan lebih 20,000 pengikut di Instagram selepas kontroversi itu tercetus, Fajar tidak melatah.
Jelas naib juara Indonesia Idol 2025, dia tetap tenang dan menganggap semua itu sebagai lumrah serta tanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan.
“Ramai yang ‘unfollow’? Ya, saya tahu, Tapi saya tak kisah. Saya bukan jenis yang kecewa dengan perkara begitu.
“Apa pun yang saya buat, saya bertanggungjawab sepenuhnya. Saya jenis yang jalan terus. Jadi biarlah orang nak cakap apa pun,” ujarnya lagi.
Terdahulu, nama Fajar hangat diperkatakan selepas tular video mesranya bersama juara Indonesian Idol musim ke-13, Shabrina yang menunjukkan mereka sedang bercumbu lantas mencetuskan kemarahan netizen.
Kontroversi menjadi semakin panas apabila Fajar didakwa berlaku curang dan sebenarnya menjalin hubungan cinta dengan pelakon terkenal Indonesia, Amanda Lucson pada masa yang sama.
Amanda kemudiannya berkongsi rakaman audio yang didakwa suara Fajar sendiri menafikan hubungannya dengan Shabrina sekali gus mengeruhkan lagi keadaan.
Akibat daripada kontroversi itu, Fajar menerima kecaman hebat dan diboikot oleh sebahagian peminat, termasuk kehilangan ribuan pengikut media sosial dalam masa singkat.