
Selepas muncul dalam rangkaian konsert tanpa henti sejak 2019 hingga kolaborasi terbaru bersama Slam pada Julai lalu, Exists kembali lagi dengan sebuah pementasan berskala eksklusif bersama JioBuddy.
Namun, konsert yang sepatutnya berlangsung pada 4 Oktober itu kini ditunda, sekali gus mencetuskan perhatian ramai peminat.
Konsert yang dinamakan Exists Premium Live @ PJ yang disertai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad dijadualkan berlangsung pada 20 Disember 2025 di lokasi yang sama, Petaling Jaya, Selangor.
JioBuddy dalam kenyataannya memaklumkan bahawa penundaan dibuat selepas perbincangan bersama Exists bagi memastikan konsert ini benar-benar mencerminkan maksud premium yang dijanjikan.
“Dengan rendah hati, kami di JioBuddy mengumumkan konsert ditunda ke tarikh baharu iaitu 20 Disember, di lokasi dan waktu yang sama.
“Penundaan ini adalah keputusan bersama Exists demi memastikan persembahan yang dibawa benar-benar premium dan eksklusif,” ujar Sean Ng daripada JioBuddy.

Pihak penganjur turut memahami keresahan peminat memandangkan trend penundaan konsert yang berakhir dengan pembatalan sejak kebelakangan ini.
Namun, penundaan kali ini diyakinkan sebagai langkah untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih mantap dan berkualiti tinggi.
Menjawab persoalan peminat mengenai konsep premium, Exists menjelaskan bahawa konsert ini bakal tampil dengan format unik iaitu lebih intim, lebih dekat dan up-close and personal.
“Akan ada sesi sembang-bual, sesi soal jawab dan kupasan lagu-lagu hits yang dibahagikan kepada empat segmen.
“Peminat akan mengetahui momen-momen sentimental di sebalik penghasilan lagu kami,” jelas Musa.
Along pula menambah bahawa Jennifer Thompson selaku Pengarah Konsert akan memastikan keseluruhan pengalaman pentas ini benar-benar berbeza daripada konsert Exists yang pernah dipentaskan sebelum ini.
Ajai pula menyifatkan momen eksklusif sedemikian sebagai sesuatu yang belum pernah dilakukan dalam mana-mana konsert Exists.
Untuk menambah nilai premium, Exists menyediakan dua hadiah istimewa berupa gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along, digunakan dalam rakaman lagu-lagu seperti Setanggi Syurga dan Salam Rindu.
Satu lagi hadiah berupa set dram PDP CenterStage 5-Pc Drum Kit dengan kerjasama JS Music.
“Untuk jadi pemenang, anda harus follow sampai ke pentas JioSpace pada 20 Disember nanti,” ujar Ujang.
Bagi Exists, penundaan tarikh baharu memberikan ruang masa yang lebih selesa untuk persiapan teknikal demi memastikan mutu konsert berada pada tahap tertinggi.
“Exists sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap perbelanjaan peminat. Kami mahu pesona mewah itu menjadi momen yang tak dilupakan,” kata Ezad.
Tiket untuk menyaksikan konsert ini masih boleh dibeli dan 100 peminat bertuah berpeluang bergambar bersama anggota Exists. Layari www.jiotix.asia untuk pembelian.



