Spekulasi mengenai tarikh pernikahan yang dikatakan semakin hampir, Primadona, Erra Fazira, 51, mengakui sudah meninjau beberapa dewan acara, namun menegaskan belum membuat sebarang tempahan rasmi.
Pemilik nama lengap Fazira Wan Chek, menjelaskan kunjungan ke lokasi-lokasi acara itu dibuat atas ajakan kenalan rapat yang ingin memperkenalkan keistimewaan premis mereka, bukan kerana persiapan kahwin yang sudah dimuktamadkan.
“Tidak dapat dinafikan memang ada desas-desus, jadi kita sajalah tinjau tempat. Kawan-kawan pun bagi cadangan lokasi menarik, sebab mereka tahu saya dalam fasa berkawan (dengan seseorang), jadi orang mula syorkan tempat untuk kenduri,” katanya.
Tambahnya lagi, meskipun telah menyenaraikan beberapa pilihan, namun tiada sebarang dewan atau tarikh yang telah ‘dikunci’ setakat ini.
“Kami okey, ambil maklum, tapi langkah seterusnya masih perlukan doa ramai. Nak kata tarikh dah dekat, belum lagi. Saya pun susah nak cakap, benda ini serius. Kalau betul, keluarga saya dah tahu dulu,” jelasnya lagi.
Biarpun enggan mengesahkan status hubungan dengan usahawan Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr. E, Erra tidak menafikan banyak pihak mula menghubungi dan menawarkan tajaan untuk majlis perkahwinan mereka.
“Bila khabar bakal berkahwin timbul, ramai mula ‘approach’, tanya macam-macam dan nak taja. Kita terbuka, kita dengar sajalah isi kertas cadangan.
“Tapi selebihnya, doa ramai yang penting. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada yang berminat,” luah pelantun lagu Pasrah itu.
Terdahulu, sumber mendakwa pasangan ini telah memilih Oktober 2025 sebagai tarikh istimewa mereka, malah sudah meninjau beberapa lokasi sebagai venue rasmi pernikahan.
Sebelum ini, Mr. E mengesahkan mereka mula serius sejak Ogos 2024 selepas berkenalan secara rasmi.
Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun bercerai pada 2006 tanpa cahaya mata.
Dia kemudian berkahwin kali kedua dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 dan bercerai tujuh tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.