Erra Fazira Dirisik Enam Minggu Lalu, Sudah Rancang Nak Kahwin Dengan Mr. E Sejak Jun
Primadona, Erra Fazira, 51, mendedahkan dirinya telah dirisik keluarga bakal suaminya, Ezwan Zain kira-kira enam minggu lalu, sebelum bersetuju melangsungkan pernikahan pada 12 Disember depan.
Menurut pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek, pada pertemuan pertama antara kedua-dua keluarga itu, dia menerima sebentuk cincin emas sebagai tanda ikatan.
“Di situ ibarat merisik merangkap semuanya termasuk mengunci tarikh (nikah) dan bagi cincin tanda lebih kurang enam minggu lalu.
“Apabila semuanya sudah dirancang dan kami rasa semuanya okey, barulah kami satukan mereka.
“Saya tidak mahu babitkan orang tua awal-awal, tetapi akhirnya berlaku perkara yang tidak elok.
“Jadi bila sudah pasti, barulah kami bertemu keluarga agar tidak menyusahkan mereka,” katanya.
Tambah Erra, dia dan Ezwan telah mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga sejak Jun lalu, selepas setahun saling mengenali.
Namun tiada lamaran rasmi dibuat, memandangkan ini bukan perkahwinan pertama bagi kedua-duanya.
“Saya rasa kerana kami sudah matang, tiada lamaran rasmi sangat. Bila berbincang tanpa tindakan, itu cuma angan-angan.
“Tetapi bila ada tindakan, saya nampak keseriusan. Jadi ia mengalir begitu saja. Tidak ada ayat seperti ‘awak betul nak kahwin dengan saya?’.
“Sebelum Aidilfitri itu fasa ‘berangan’. Selepas itu, dia beraya di kampung saya. Keluarga pun okey. Saya memang mahu ‘lampu hijau’. Bila semua okey, barulah kami serius,” ujarnya.
Majlis akad nikah Erra dan Ezwan akan berlangsung pada 12 Disember, manakala majlis resepsi pada 13 Disember dan 27 Disember bakal disiarkan secara langsung di saluran YouTube Kasi Ons.
