Ikon paling berpengaruh dalam sejarah rock yang juga vokalis utama kumpulan Black Sabbath, Ozzy Osbourne dilaporkan telah meninggal dunia.
Menurut wakil keluarga, Ozzy menghembuskan nafas terakhir pada 22 Julai 2025 pada usia 76 Tahun.
“Dengan kesedihan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, kami (ahli keluarga) terpaksa memaklumkan bahawa Ozzy Osbourne yang kami sayangi telah meninggal dunia.
“Beliau berada bersama keluarga dan dikelilingi oleh kasih sayang. Kami memohon agar semua orang menghormati privasi keluarga kami pada masa ini,” kongsi keluarganya kepada E! News.
Kali terakhir mendiang tampil di pentas adalah pada 5 Julai 2025 di Villa Park, Birmingham, di tanah kelahirannya di England.
Persembahan itu kini dikenang sebagai detik terakhir beliau berdiri di hadapan peminat sebagai seorang penghibur sejati.
Difahamkan, Ozzy telah lama berdepan dengan pelbagai isu kesihatan termasuk penyakit Parkinson, yang didiagnosis secara terbuka pada tahun-tahun terakhir hidupnya.
Isterinya, Sharon Osbourne, sebelum ini pernah mendedahkan pada Jun 2022 bahawa Ozzy menjalani satu pembedahan besar yang menentukan hidupnya.
Dilahirkan sebagai John Michael Osbourne di Birmingham, England, pada 3 Disember 1948, Ozzy memulakan perjalanan muziknya yang luar biasa pada akhir 1960-an.
Bersama Tony Iommi, Geezer Butler dan Bill Ward, mendiang menubuhkan kumpulan Black Sabbath pada tahun 1968, sebuan band yang menjadi pelopor kepada genre heavy metal.
Album-album seperti Paranoid dan Master of Reality meletakkan mereka di barisan hadapan muzik rock dunia dan suara unik Ozzy dianggap unik.