
Dulu Boros Demi Mewah, Kini Anzalna Utamakan Amal & Kebajikan
Jika suatu ketika dahulu Anzalna Nasir selesa berbelanja besar demi memuaskan kehendak peribadi, kini pelakon itu lebih memilih untuk menyalurkan rezekinya ke jalan kebajikan.
Anzalna, 37, berkata gaya hidupnya berubah seiring peningkatan usia dan fasa kehidupan sebagai seorang ibu.
“Dulu saya boleh habiskan lebih RM100,000 hanya untuk beli barangan mewah. Sekarang, saya masih beli apa yang saya suka, cuma tidak seperti dulu, sudah tahu had dan keutamaan,” luahnya menerusi hantaran di Instagram Story.
Pelakon drama Memori Cinta Suraya itu juga mengakui dirinya semakin tersentuh melihat nasib orang yang kurang berkemampuan, hingga membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan.
“Satu beg berjenama boleh kenyangkan banyak keluarga. Duit sebanyak itu juga boleh ringankan beban ibu bapa yang susah, atau bantu seseorang bangkit semula dalam hidup.
“Bila umur meningkat, hati saya lebih tenang bila dekat dengan Allah. Hidup rasa lebih bermakna bila kita buat kebaikan dan cari keberkatan. Doakan saya terus istiqamah,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Anzalna juga mendedahkan dia sering menerima mesej peribadi (DM) di TikTok daripada individu yang memohon bantuan.
“Ramai yang hubungi saya minta tolong. Kalau mereka berada di sekitar Kuala Lumpur, Insya-Allah saya cuba bantu. Tapi kalau di luar KL, saya agak terhad sebab anak masih kecil,” tambahnya.
Terdahulu, Anzalna pernah mendapat pujian ramai selepas tampil membantu seorang penghantar makanan yang tetap gigih mencari rezeki sambil menggendong anak kecil.