Dua Tokoh Akademik Fail Saman Terhadap Rita Rudaini

Dua Tokoh Akademik Fail Saman Terhadap Rita Rudaini

Dua tokoh akademik tampil mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon, Rita Rudaini selepas dakwaan fitnah yang didakwa berlarutan selama berbulan-bulan serta kegagalan aktres itu memenuhi notis tuntutan RM1 juta sebelum ini.

Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd Roslan Mohd Nor dan timbalannya, Saidah Haris @ Harith memfailkan saman tersebut melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu.

Menurut peguam mereka, Datuk Adnan Seman, tindakan saman itu difailkan selepas pihaknya mendapati Rita memuat naik beberapa kenyataan berunsur fitnah di Instagram, WhatsApp serta beberapa platform komunikasi lain.

“Antara label fitnah yang dipersoalkan termasuk dakwaan mereka bongkak, narsis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak menerajui MUAFAKAT.

“Kenyataan itu turut dikaitkan dengan tuduhan salah urus wang ibu bapa, sehingga mencetuskan penerbitan artikel berkaitan kepincangan MUAFAKAT MRSM,” katanya.

Adnan berkata, reputasi kedua-dua plaintif tercalar memandangkan Rita mempunyai jumlah pengikut media sosial yang besar.

“Plaintif percaya defendan bertindak secara semberono dan berniat tidak baik apabila memuat naik kenyataan tanpa semakan. Justeru, mereka menuntut perintah injunksi, permohonan maaf berbentuk video selama tiga bulan, pemadaman semua kenyataan fitnah serta ganti rugi am, teruk, pengajaran dan faedah 5% setahun,” jelasnya.

Tambah Adnan lagi, saman itu difailkan selepas Rita didakwa gagal memenuhi tuntutan notis bertarikh 15 Oktober lalu.

“Defendan tidak memadam kenyataan fitnah, tidak membuat permohonan maaf dan tidak membayar ganti rugi am RM1 juta seperti diminta. Maka, kes ini diangkat ke mahkamah,” tegasnya seperti dilaporkan Kosmo.

Untuk rekod, kedua-dua plaintif memiliki latar akademik yang kukuh. Mohd Roslan ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaya dan turut memegang beberapa jawatan dalam Majlis Agama Islam Negeri.

Saidah pula merupakan Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru, Munsyi Dewan Bahasa, serta Panel Pembangunan Sijil Kemahiran Malaysia.

Terdahulu, Rita mendakwa wujud kepincangan dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MUAFAKAT) MRSM Sungai Besar, yang kemudian mencetuskan kontroversi sehingga membawa kepada tindakan undang-undang ini.

Related post

Leave a Reply