Dolla Berjumpa Fahmi Fadzil
Kumpulan Dolla mencuri perhatian apabila berpeluang bertemu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen Malaysia, pada Isnin.
Menerusi hantaran di Instagram, Dolla berkongsi beberapa foto dan klip video pendek sepanjang pertemuan itu berlangsung.
Dalam kapsyennya, mereka meluahkan rasa teruja terhadap potensi kerjasama dan perkembangan masa depan industri kreatif.
“Masa depan yang kelihatan mengujakan! Terima kasih Yang Berhormat Fahmi Fadzil dan pasukan,” tulis mereka.
Dalam pertemuan tersebut, tiga anggotanya Sabronzo, Tabby dan Angel turut menyerahkan cenderamata eksklusif tertera nama Dolla sebagai tanda penghargaan kepada Fahmi.
Universal Music Malaysia selaku label yang menaungi kumpulan itu turut berkongsi rasa teruja menerusi hantaran di Instagram.
Menurut label tersebut, peluang berbincang bersama Fahmi merupakan satu penghormatan besar untuk Dolla dan industri muzik secara keseluruhan.
“Suatu penghormatan besar dapat duduk bersama Menteri Komunikasi. Terima kasih atas perbincangan dan kesudian mendengar visi kami.
“Perkara menarik sedang menanti industri dan kami tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripadanya,” tulis syarikat itu.
Pertemuan itu turut disertai Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.
Setakat ini, tujuan pertemuan dan inti pati perbincangan belum didedahkan, namun peminat menjangkakan berkait dengan perkembangan kerjaya Dolla.
