Doktor Dedah Ada Keluarga Guna Hospital Sebagai ‘Pusat Penjagaan Warga Emas Sementara’ Demi Kepentingan Diri
Seorang doktor di mencetuskan perdebatan hangat selepas mendedahkan sesetengah keluarga kini menyalahgunakan hospital sebagai ‘pusat penjagaan warga emas sementara’, bukan kerana ibu bapa mereka sakit tenat, tetapi semata-mata supaya mereka boleh keluar berseronok tanpa tanggungjawab.
Dalam satu hantaran di Threads yang penuh rasa kecewa, doktor itu berkata, hospital kini semakin kerap dijadikan tempat untuk menitipkan ibu bapa warga emas atas alasan mudah, seolah-olah kakitangan perubatan hanyalah penjaga sementara.
Menurutnya, tingkah laku seperti ini semakin menjadi-jadi, malah ada ahli keluarga yang mendesak agar ibu bapa mereka terus dirawat di wad walaupun telah disahkan sihat dan layak untuk discaj.
Seorang jururawat turut berkongsi pengalaman di ruangan komen, menceritakan bagaimana ada anak yang secara bersahaja bertanya sama ada ibu bapa mereka boleh tinggal beberapa hari lagi, seolah-olah hospital itu sebuah hotel.
Bagi doktor tersebut, permintaan seperti itu bukan sahaja tidak wajar, malah amat membimbangkan kerana menunjukkan betapa jauhnya sesetengah individu daripada tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa sendiri.
Doktor berkenaan menegaskan, isu ini bukan tentang kesukaran menjaga pesakit, tetapi tentang sikap segelintir ahli keluarga yang cuba melepaskan tanggungjawab dengan menjadikan hospital sebagai tempat menyimpan”warga emas.
Doktor itu turut mengingatkan yang hospital wujud untuk menyelamatkan nyawa, bukannya sebagai jalan mudah bagi mereka yang tidak mahu menjaga ibu bapa yang semakin uzur.
Hantaran tersebut tular dengan pantas dan menerima pelbagai reaksi daripada petugas kesihatan serta netizen yang mengakui pernah menyaksikan situasi sama.
“Percaya atau tidak, memang ada orang buat begini. Terutamanya waktu musim perayaan. Ibu bapa yang sudah lama sakit ‘ditinggalkan’ di hospital sebab anak-anak tak mahu jaga dan nak pergi beraya.
“Kalau badan dah ada luka baring, memang kena admit, kan? Tapi bila dah siap untuk discaj dan staf telefon suruh ambil balik, tiba-tiba semua senyap dan tak nak jawab panggilan,” dakwa netizen yang lain.
