
Diuji Masalah Kesihatan & Hutang, Derita Shahriza Mahmud Belum Berkesudahan
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu juga nasib yang menimpa pelakon Shahriza Mahmud, 59, yang kini menghadapi masalah kesihatan selain kurang mendapat tawaran berlakon.
Sedih dengan nasib yang menimpa, dia juga kecewa apabila seakan dipinggirkan oleh industri hiburan setelah berhadapan dengan masalah kesihatan.
Seperti yang dilaporkan Harian Metro, dia kurang menerima tawaran berlakon memandangkan kini terpaksa bertongkat selepas menghidap slip disc hingga menghimpit urat saraf.
“Ada juga tawaran, tapi bila saya cakap pakai tongkat boleh tak, mereka terus tak nak. Mereka nak yang boleh berjalan, boleh berlari semua, kan.
“Namun syukur juga, Januari lalu saya berlakon satu telefilem. Itu pun, saya ambil sebab penerbit cakap tiada babak berlari dan jalan, cuma duduk saja.
“Tapi kena bergerak juga. Telefilem ini dah ditayangkan bulan lalu. Memang saya nak sangat berlakon sebab sekarang berniaga pun sakit. Mana yang ada semua, hutang dah bertambah-tambah,” katanya.
Tanpa berselindung, pelakon yang popular ketika era 90-an ini mengakui sedang menanggung sejumlah hutang dan mahu menyelesaikannya segera.
“Jadi, saya buatlah apa saja yang boleh. Sekarang mana-mana team yang panggil berniaga, rasa tempat itu berbaloi saya akan masuk termasuk ‘car boot sale’.
“Sampai ke Temerloh, Pahang saya pergi untuk cari rezeki. Dari situ saya ke Mentakab dan Bera. Orang ramai dan ada yang beli tapi hanya sekadar balik modal.
“Dengan kos minyak, tol dan sewa hotel RM40. Kadang-kadang tidur dalam kereta. Sebelum ini saya berniaga di ‘car boot sale’ di Shah Alam selama dua hari, satu jualan pun tak ada,” tambahnya lagi.
Hampir loma tanggung melawan derita, wanita ini sentiasa berharap untuk sembuh seperti sedia kala memandangkan dia perlu menanggung bil perubatan dan melangsaikan hutang rumah.
“Saya hutang pengurusan rumah. Asalnya sikit saja, lima tahun lalu dah menjadi lebih RM3,000. Sekarang dah lebih RM11,000. Lagi lama dia makin naik.
“Jadi, terpaksa kurangkan macam manapun. Kami dah bincang dengan pengurusan dan mereka suruh jual rumah itu,” jelasnya yang enggan melakukan tindakan tersebut kerana aset itu merupakan peninggalan ibunya.