Dikenali Sebagai Pemakan Ekstrem, Neo Zermatt Dedah Pernah Masuk Wad Gara-Gara Cabaran Makan Burger
Pempengaruh yang kerap makan dengan kuantiti banyak Zermatt Neo, mendedahkan yang dia pernah dimasukkan ke hospital selepas menamatkan satu sesi cabaran makan yang ekstrem.
Menerusi pendedahan yang dibuat di Reddit, Neo memberitahu dia dimasukkan ke hospital akibat keadaan perut yang terlalu kembung.
Dia dimasukkan ke wad selama tiga hari dan kemudiannya mengalami pankreatitis selama dua minggu.
“Beberapa tahun lalu, saya pernah makan burger melebihi kemampuan. Perut saya alami kembung yang melampau sehingga menyebabkan tekanan pada pankreas saya.
“Saya kemudian pergi ke hospital bahagian kecemasan dan ditahan wad selama tiga hari akibat pankreatitis. Gila,” tulisnya.
Neo menjelaskan, makan makanan berprotein tinggi dan diproses seperti burger dan stik adalah cabaran paling sukar buatnya.

Untuk mengawal berat badan dan kesihatan, Neo sangat bergantung pada senaman kardio. Menurutnya, dia membakar antara 600 hingga 1,200 kalori setiap hari hanya melalui kardio, kebanyakannya dengan berjalan kaki.
Selain itu, dia berlari sekitar 60 hingga 70 kilometer setiap minggu, ditambah dengan aktiviti lompat tali, mesin eliptikal dan latihan beban. Lompat tali merupakan antara kaedah paling berkesan baginya.
Walaupun berdepan risiko dan rutin ekstrem, Neo menegaskan bahawa beliau benar-benar menyukai makanan, khususnya hidangan tempatan.
Dan apabila ditanya tentang makanan segera kegemarannya, jawapannya masih kekal sama.
McDonald’s masih nombor satu dalam senarainya.
Sumber: Reddit
