Dihalau Balik Ke Singapura, Aaron Aziz Buru Individu Biadap
Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 49, berdepan pengalaman tidak menyenangkan apabila menjadi sasaran mesej berunsur biadab dan melampau daripada seorang individu di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, Aaron berkongsi tangkap layar komen seorang pengguna yang bukan sahaja menghalau dirinya pulang ke Singapura, malah turut mengeluarkan kata-kata tidak bermoral melibatkan isteri serta anak-anaknya.
“Berambus balik Singapura lah,tapi bini dengan anak kau tinggal sini,” tulis individu terbabit.
Komen itu jelas mengundang kemarahan dan kekecewaan aktor filem Banduan berkenaan, apatah lagi apabila penghinaan tersebut menyentuh soal keluarga.
“Salam semua, boleh tak sesiapa yang kenal orang ini? Biadap dan kurang ajar,” tulis Aaron ringkas pada perkongsian tersebut.
Tindakan individu berkenaan mencetuskan reaksi keras dalam kalangan warganet apabila ramai menyuarakan rasa tidak puas hati dan menyifatkan mesej tersebut sebagai melampau serta tidak berperikemanusiaan.
Rata-rata netizen turut menggesa Aaron agar mengambil tindakan tegas termasuk membuat laporan polis bagi mengelakkan perkara sama berulang serta memberi pengajaran kepada pelaku.
