Personaliti TV dan pelakon Korea, Dex, baru-baru ini mendedahkan yang dia membeli dua buah kenderaan – sebuah kereta mewah untuk dirinya sendiri manakala sebuah kereta baharu untuk bapanya.
Hal tersebut dikongsikan oleh Dex sendiri ketika menjadi tetamu dalam program Youtube Jjannhyung Shin Dongyup baru-baru ini.
Menerusi episod tersebut, Shin Dongyup bertanya sama ada Dex ada memberikan wang belanja kepada ibu bapanya.
Dex menjawab: “Ya. Saya sendiri pun memandu kereta terpakai selama ini.”
Apabila Shin secara berseloroh bertanya, adakah kereta berkenaan jenis Rolls Royce, Dex menjawab: “Betul. Nilai asalnya 1.2 bilion won (RM3.9 juta).
“Tapi saya beli dengan harga 600 juta won (RM1.95 juta), saya berjaya tawar separuh harga,” katanya seperti dilaporkan Allkpop.
Dex berkata, dia turut membelikan kereta baharu untuk bapanya.
“Saya juga beli kereta baharu bernilai 50 juta won (RM160,000) untuk ayah saya. Jadi, walaupun saya dapat kereta terpakai, ayah saya pula dapat kereta baharu.
“Ayah saya dah lama guna kereta lama, jadi saya belikan dia kereta baharu pertama dalam hidupnya,” katanya sambil menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang yang mendalam terhadap bapanya.