Dapur Meletup Cederakan 11 Pelajar Yang Sedang Nyanyi ‘Happy Birthday’

Sekurang-kurangnya 11 pelajar cedera selepas sebuah dapur butana mudah alih meletup sewaktu satu majlis sambutan hari jadi di sebuah restoran di Dagupan City, Filipina, menyebabkan lapan daripada mereka dimasukkan ke hospital dan dua lagi memerlukan pembedahan, lapor GMA Network.
Insiden itu berlaku pada 12 Mac lalu di sebuah restoran di kawasan Barangay Caranglaan, di mana sekumpulan pelajar berkumpul selepas satu aktiviti sekolah bagi meraikan hari jadi salah seorang rakan mereka.
Menurut laporan, kumpulan tersebut sedang menyanyikan lagu Happy Birthday apabila dapur mudah alih yang diletakkan di atas meja mereka tiba-tiba meletup dan memercikkan api ke arah mereka yang duduk berhampiran.
Polis berkata, kebocoran gas daripada dapur butana mudah alih dipercayai menjadi punca letupan tersebut, yang berlaku ketika mereka sedang meraikan majlis itu, menurut laporan Pinoy Publiko.
Kesemua 11 pelajar yang cedera dibawa mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan melecur.
Pihak berkuasa memaklumkan lapan pelajar masih dirawat di hospital, manakala tiga lagi telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
Daripada mereka yang dimasukkan ke hospital, dua pelajar mengalami kecederaan serius dan dijadual menjalani pembedahan, namun polis berkata keadaan mereka tidak dianggap kritikal.
Polis turut memaklumkan bahawa pemilik restoran telah bersetuju menanggung kos rawatan hospital bagi semua pelajar yang tercedera, lapor GMA Network.
Pengurusan restoran juga menyatakan bahawa ini merupakan kejadian pertama seumpamanya berlaku di premis tersebut, sambil menambah bahawa peralatan memasak mudah alih mereka sentiasa dibersihkan dan diperiksa secara berkala.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan itu, termasuk sama ada berlaku kerosakan pada dapur atau kebocoran gas sebelum ia digunakan, menurut Manila Bulletin.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa turut mengingatkan pengusaha restoran dan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan memasak berkuasa gas mudah alih, khususnya di ruang makan tertutup yang boleh menyebabkan gas terkumpul.
Sumber: Mothership



