Cuti Berganda Februari 2026, Pekerja KL, Putrajaya & Labuan Dapat Sehingga Dua Hari Cuti
Pekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menikmati sehingga dua hari cuti pada Februari 2026 selepas Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan sebagai cuti umum yang jatuh pada 1 Februari 2026.
Memandangkan cuti umum tersebut jatuh pada hari Ahad, pekerja akan menerima cuti gantian pada 2 Februari dan berkemungkinan juga pada 3 Februari. Begitupun, sama ada pekerja benar-benar mendapat dua hari cuti bergantung kepada dua syarat utama.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Sumber Manusia menjelaskan bahawa Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti umum wajib bagi majikan sektor swasta yang beroperasi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Perkara ini selaras dengan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tidak boleh digantikan dengan cuti lain.
Oleh kerana Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari Ahad, majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai hari rehat mingguan wajib memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Isnin (2 Februari).
Selain cuti umum Thaipusam pada 1 Februari, pekerja juga berkemungkinan layak menerima satu lagi cuti pada 3 Februari.
Kementerian turut menjelaskan bahawa pekerja hanya akan menerima cuti gantian tambahan bagi Thaipusam sekiranya majikan telah memilih Thaipusam sebagai salah satu daripada enam cuti umum pilihan di bawah Seksyen 60D(1)(a) Akta 265.
Memandangkan kedua-dua Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari yang sama, majikan yang memilih Thaipusam sebagai cuti umum perlu memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Selasa (3 Februari).
Ringkasnya, anda layak mendapat dua hari cuti sekiranya pejabat anda beroperasi di Wilayah Persekutuan dan syarikat anda mengiktiraf Thaipusam sebagai cuti umum.
Kementerian turut menambah, majikan boleh memberikan satu lagi hari cuti bergaji sebagai gantian, tertakluk kepada persetujuan bersama dengan pekerja, seperti yang dibenarkan di bawah Seksyen 60D(1A) Akta tersebut.
Pekerja yang diarahkan bekerja pada hari cuti umum pula layak menerima bayaran gaji cuti umum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60D(3) Akta Kerja 1955.
Penjelasan ini dikeluarkan bagi memastikan majikan dan pekerja memahami hak serta tanggungjawab masing-masing menjelang kalendar cuti umum tahun 2026.
