Kejayaan besar Netflix menerusi filem animasi aksi-komedi Kpop Demon Hunters kini telah menjadi fenomena ikonik, sehinggakan idol K-Pop sendiri pun tidak terlepas daripada gelombang viralnya.
Nama-nama besar dalam industri turut sama menyertai pelbagai trend berkaitan filem ini, termasuk cabaran tarian yang semakin popular.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, idol seperti J-Hope (BTS), Moonbyul (MAMAMOO), ZEROBASEONE, dan ramai lagi telah menyahut cabaran tarian Soda Pop (Soda Pop dance challenge), masing-masing meraih jutaan tontonan di media sosial.
Ada yang menampilkan gaya lucu dan santai, manakala yang lain pula cuba mengekalkan ketepatan gerakan asal koreografi.
Walaupun peminat masing-masing percaya bahawa idol kegemaran mereka melakukannya dengan paling baik, koreografer asal lagu tersebut akhirnya memilih “pemenang” di matanya sendiri.
Lee Jung, koreografer K-Pop terkenal yang pernah bekerjasama dengan nama-nama besar seperti TWICE, BLACKPINK, dan BTS, baru-baru ini berkongsi penglibatannya dalam mencipta koreografi untuk Kpop Demon Hunters, termasuk lagu “Soda Pop.”
Sebagai pencipta kepada gerakan tarian ikonik “shoulder dance”, Lee menyatakan bahawa bagi dirinya, ada satu persembahan yang paling menonjol antara semua idol yang mengambil bahagian.
Menurut Lee, persembahan Soda Pop Challenge oleh Cha Eunwoo dari ASTRO adalah yang paling berkesan dan diingatinya. Malah, beliau mendedahkan bahawa watak protagonis lelaki dalam filem tersebut, Jinu dari Saja Boys, sebenarnya diinspirasikan oleh Eunwoo.
“Saya sebenarnya reka watak Jinu daripada Saja Boys berdasarkan Cha Eunwoo. Kalau Jinu wujud di dunia nyata, saya bayangkan dia akan sama seperti Eunwoo,” ujar Lee Jung.
Cha Eunwoo telah mempersembahkan tarian pendek Soda Pop semasa acara fanmeeting beliau, THE ROYAL, pada 12 Julai (waktu Korea). Dengan mengenakan pakaian bak seorang putera raja, beliau melaksanakan gerakan ikonik tersebut dengan penuh gaya, sebelum tertawa malu selepas selesai menari.
Sumber: Koreaboo