Bung Moktar Meninggal Dunia

Bung Moktar Meninggal Dunia

Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, awal pagi Jumaat.

Pemimpin berusia 66 tahun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles.

Berita pemergiannya dimaklumkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar, menerusi hantaran di Facebook.

“Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulis Naim.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Bung Moktar dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada tengah hari.

Naim mengesahkan perkara tersebut namun tidak berkongsi butiran lanjut mengenai punca bapanya dimasukkan ke hospital, sebaliknya meminta orang ramai mendoakan kesihatan ayahnya ketika itu.

Pemergian Bung Moktar meninggalkan kesan besar kepada arena politik Sabah, khususnya dalam kalangan ahli UMNO dan Barisan Nasional di negeri tersebut.

Related post

Leave a Reply