Buang Sampah Sesuka Hati, Pemandu Van Mengamuk Bila Ditegur – “Pergi Balik Malaysia!”
Sebuah klip memaparkan seorang pemandu van mengamuk terhadap seorang individu selepas lelaki itu ditegur kerana membuang sampah di tempat letak kereta tular di media sosial baru-baru ini.
Warganet mengecam tindakan pemandu van tersebut yang dianggap biadab, malah ramai mengkritiknya kerana menggunakan kata-kata kesat walaupun jelas dirinya yang bersalah.
Pada awal klip berkenaan, kelihatan pemandu sebuah van Toyota HiAce putih membuang gelas plastik, sebuah kotak dan tisu ke lantai kawasan parkir di sebelah kenderaannya.
Apabila seorang pemerhati menegurnya kerana membuang sampah, pemandu van itu menjadi marah dan membalas: “Saya ada buang dalam kereta awak ke?”
Pemerhati itu menjawab bahawa itu bukan isu yang dibangkitkan.
Namun, jawapan berkenaan hanya membuatkan pemandu van tersebut bertambah marah. Dia menunjuk ke lantai sambil menjerit: “Ini lantai kau? Lantai kau ke?” sebelum mengakhiri dengan kata-kata kesat: “F**k you! Pergi balik Malaysia!” tengkingnya.
Dia kemudian membanting pintu dan menunjukkan isyarat lucah kepada pemerhati yang menegurnya.
Beberapa saat selepas itu, pemandu van tersebut menurunkan tingkap dan terus memaki hamun sambil mengeluarkan pelbagai isyarat tidak senonoh.
Dalam kapsyen hantaran, kejadian itu dikatakan berlaku pada 30 November lalu, dengan pemilik video mendakwa bahawa terdapat tong sampah berdekatan lokasi.
Pemilik video menambah, ketika mereka meminta pemandu van itu membuang sampah dengan betul, lelaki itu menjadi agresif dan memintanya untuk balik ke Malaysia.
“Ini bukan tentang kewarganegaraan. Ini tentang rasa hormat asas, kebersihan dan tanggungjawab sivik.
“Singapura bersih kerana semua orang memainkan peranan dan tiada siapa patut dilayan begini hanya kerana mengingatkan seseorang untuk buat perkara yang betul,” tulis pemilik video itu.
Warganet juga tidak berpuas hati dengan kemarahan pemandu van tersebut dan segera mengecamnya di ruangan komen.
Seorang lagi tertanya-tanya apa kaitan Malaysia dengan insiden itu dan menegur pemandu tersebut agar jangan babitkan negara, sambil menambah bahawa lantai parkir itu bukan miliknya.
Sementara itu, ada yang menggesa pemilik video membuat aduan kepada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
