Pelakon berkaliber, Bront Palarae, 46, meluahkan rasa syukur kerana sepanjang karier lakonan khususnya di peringkat antarabangsa, dia tidak pernah ditawarkan watak yang keterlaluan atau melibatkan babak berunsur seksual.
Menurut Bront, faktor penampilannya yang tidak dieksploitasi dari segi fizikal mungkin menjadi sebab utama dia terlepas daripada menerima tawaran watak sedemikian.
“Saya anggap diri saya bernasib baik kerana mereka tak pernah nampak saya sebagi seorang pelakon atau lelaki seksi.
“Lainlah kalau saya ini hero Malaya berbadan sasa, bila buka baju nampak seksi, mungkin ada tawaran sebegitu. Tapi saya bukan dalam kategori itu,” jelasnya yang ditemui, baru-baru ini.
Tambah Bront, walaupun ada pelakon yang selesa membawakan watak panas atas dasar profesional, namun dia secara peribadi memilih untuk menjaga batas.
“Kalau zaman bujang dulu, batasannya lain. Ibu bapa pun senang nak dipujuk. Tapi sekarang bila sudah beristeri, banyak perkara perlu difikirkan termasuk pandangan keluarga mentua.
“Kena fikir juga tentang anak. Bukan bermaksud saya terlalu berhati-hati, cuma saya lebih memikirkan kesan dan akibat yang perlu saya tanggung nanti,”* ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Bront bersyukur kerana sehingga kini dia masih diberikan kepercayaan untuk melakonkan karakter yang bersesuaian dengan dirinya.
“Tak berani nak cakap sebelum terjadi, macam mencabar takdir pula. Tapi saya bersyukur masih berada dalam zon nyaman,” luahnya lagi.