
Blood Brothers: Bara Naga Dominasi Pencalonan FFM34, Filem Terbaik Bakal Terima Habuan RM1 Juta
Filem Blood Brothers: Bara Naga membuktikan pengaruh luar biasa apabila muncul sebagai filem paling banyak menerima pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) dengan 13 kategori.
Karya hebat terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios arahan Syafiq Yusof bersama Abhilash Chandra itu mendominasi senarai calon tahun ini, termasuk kategori utama iaitu Filem Terbaik.
Antara pencalonan lain yang diraih filem tersebut termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, tiga slot bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, serta kategori Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik.
Selain itu, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Rekaan Kostum/Busana Terbaik.
Blood Brothers: Bara Naga yang mengetengahkan kisah persaudaraan, pengkhianatan dan pengorbanan dalam dunia jenayah berjaya mencipta fenomena luar biasa apabila mencatat kutipan pecah panggung RM76 juta sejak tayangan pada 10 April lalu.
Filem ini bakal bersaing hebat dengan empat lagi calon bagi kategori Filem Terbaik iaitu Soloz: Game of Life, Takluk: Lahad Datu, Reversi dan Babah.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, mengumumkan pemenang kategori Filem Terbaik FFM34 akan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.
“Ini bukan sekadar ganjaran kewangan, tetapi komitmen kerajaan untuk melihat karya unggul Malaysia terus melangkah jauh. Karya yang menang bukan hanya untuk dikenang, tetapi juga disokong untuk berkembang dan menembusi pasaran global,” katanya ketika majlis pengumuman Top 5 FFM34.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Nik Kamaruzaman Nik Husin, Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden GAFEMA, Pansha.
Sementara itu, kategori Pelakon Lelaki Terbaik kali ini dijangka sengit dengan pertembungan antara Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).
Sementara itu, bagi Pelakon Wanita Terbaik, senarai calon menampilkan nama-nama hebat seperti Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofea Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu), Maya Karin (Telaga Suriram) dan Sweet Qismina (Babah).
Sebagai menghargai jasa tokoh seni tanah air, empat bintang legenda iaitu Datuk Rosnani Jamil, Ruminah Sidek, Datuk Rahim Razali dan Othman Hafsham akan menerima penghargaan khas sempena FFM34.
Malam kemuncak FFM34 akan berlangsung pada 1 November depan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri dan disiarkan secara langsung menerusi TV2.
Anugerah berprestij itu akan dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim.