Berucap Di Sidang Kemuncak CEO APEC, RM BTS Ibaratkan K-Pop Seperti Bibimbap

Berucap Di Sidang Kemuncak CEO APEC, RM BTS Ibaratkan K-Pop Seperti Bibimbap

Anggota kumpulan K-Pop BTS, RM, tampil menyampaikan ucapan di sesi kebudayaan Sidang Kemuncak CEO APEC dan berkongsi pandangan tentang kejayaan global K-Pop serta menyeru para pemimpin dunia supaya menyokong golongan pencipta di seluruh dunia.

Diadakan di Pusat Seni Gyeongju, sesi tersebut bertemakan Industri Kreatif di Rantau APEC dan Kuasa Lembut Budaya Korea (K-Culture).

“Sebagai seorang pencipta, saya berasa amat bangga dan teruja apabila budaya diiktiraf sebagai agenda utama tahun ini.

“Saya sangat bertuah. Saya bertemu enam ahli BTS yang luar biasa, bekerja dengan penerbit Bang Si Hyuk yang memberi kami kebebasan penuh untuk mencipta muzik yang kami mahukan, serta bertemu ARMY di seluruh dunia, peminat yang menerima muzik kami bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai bahasa kehidupan.

“Semangat mereka yang merentas sempadan membuka laluan baharu untuk saya, dari pentas anugerah seperti Billboard Music Awards dan Grammys, hingga ke Perhimpunan Agung PBB, Rumah Putih, dan kini, pentas APEC ini,” katanya.

RM turut mengenang detik awal BTS menembusi pasaran antarabangsa.

“Sepuluh tahun lalu, kami tidak pernah membayangkan kehormatan untuk berdiri di sini. Pernahkah anda mendengar lagu di TV atau radio dalam bahasa yang bukan bahasa anda sendiri? Saya tahu betapa sukarnya mendengar lagu Korea di rantau berbahasa Inggeris dan betapa tinggi halangan budaya itu.

“Dulu lebih mencabar apabila kami diperkenalkan sebagai ‘artis Korea’. Orang sering bertanya, ‘Korea Utara atau Korea Selatan?’ atau ‘Di mana Korea sebenarnya?’ Kami perlu memperkenalkan negara kami dahulu sebelum muzik kami.

“Tapi hari ini, saya berdiri di sini kerana halangan itu telah dipecahkan oleh ARMY. Mereka menggunakan muzik kami untuk berkomunikasi merentasi sempadan dan bahasa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, RM turut menyamakan K-Pop seperti hidangan tradisional Korea popular, bibimbap.

“Seperti bibimbap yang menggabungkan nasi dengan sayur, daging dan perasa, K-Pop pula mencampurkan unsur muzik Barat seperti hip-hop, R&B dan EDM dengan estetik, emosi dan sistem produksi unik Korea,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kejayaan K-Pop bukan tentang kehebatan budaya, tetapi kerana kemampuannya mengekalkan identiti Korea sambil meraikan kepelbagaian dan menerima budaya global.
“Kita semua menyayangi seni dan budaya, dan kita dihubungkan melalui emosi yang dibawa olehnya. Sebagai pencipta dan artis, saya mohon agar anda menyediakan sokongan ekonomi dan peluang kepada pencipta di seluruh dunia.

“Pelaburan untuk generasi masa depan bukan hanya soal ekonomi, tetapi juga budaya. Seni dan budaya ialah kuasa besar yang menggerakkan hati dan mempercepat kefahaman terhadap kepelbagaian serta keterangkuman.

“Saya menyokong visi APEC untuk memupuk keterangkuman dan pertumbuhan melalui budaya serta kreativiti. Sebagai artis, saya berjanji untuk terus meneroka peluang yang dicipta, serta menyebarkan keberanian, harapan dan nilai keterangkuman melalui muzik,” tutupnya.

Related post

Leave a Reply