Bekas Anggota ZE:A, Kim Taeheon Dedah Pendapatan Sebenar Sebagai Pemandu Teksi
Bekas ahli ZE:A, Kim Taeheon berkongsi secara jujur tentang pendapatannya sebagai pemandu teksi.
Taeheon berkongsi mengenai kerjayanya sebagai pemandu teksi itu menerusi saluran Youtube NEXTAEHEON baru-baru ini.
“Saya selalu fikir saya perlu tingkatkan pendapatan, tapi ia tak semudah yang saya sangka. Bila saya keluar ke kawasan Anyang atau kawasan luar Seoul, kadang-kadang saya pulang tanpa mengambil sebarang penumpang, jadi pendapatan jadi lebih rendah.
“Kali ini, saya akan buat yang terbaik untuk dapatkan sebanyak mungkin,” katanya.
Seorang penumpang wanita mengakui terkejut kerana pemandu teksi yang dinaikinya merupakan bekas idol popular.
“Sekarang ramai orang muda jadi pemandu teksi, jadi saya tak sangka awak ialah Kim Taeheon,” ujar wanita itu.
Kim Taeheon kemudian mendedahkan yang pendapatan sebagai pemandu teksi sebenarnya lebih baik daripada yang disangka ramai.
“Bayarannya okey. Kalau kerja sepenuh masa dan betul-betul usaha, saya dengar boleh dapat sekitar 4 hingga 5 juta won sebulan (RM16,000 hingga RM20,000). Mereka yang mahir dalam kerja ini memang boleh capai sebanyak itu,” dedahnya.
Kim Taeheon debut pada tahun 2010 sebagai ahli kumpulan ZE:A, bersama lapan ahli lagi termasuk Im Siwan dan Park Hyungsik. Sejak itu, dia pernah berkongsi tentang bekerja dalam pelbagai pekerjaan seperti penghantaran makanan, memunggah dan memuatkan barang, pelayan restoran dan kerja tapak pembinaan.
Terbaharu, dia memperoleh lesen pemandu teksi dan mula bekerja sebagai pemandu teksi sepenuh masa.
