Barangan Dalam Rumah Dilelong, Vida Hanya Mahu Selamatkan Aset Peribadi
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida mengesahkan individu bernama Norzamri Abdullah yang membeli barangan lelongan di kediamannya baru-baru ini adalah antara pekerjanya.
Begitu pun, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, fokus utamanya ketika ini adalah menyelamatkan aset peribadi yang mempunyai nilai sentimental tinggi.
“Saya pun pasti orang ramai tahu sebab mereka selalu nampak orang itu bersama saya. Siapa lagi kalau bukan dia. Tapi yang lebih penting, saya perlu selamatkan aset saya yang dibeli dengan wang titik peluh sendiri dan ada nilai sentimental, seperti perabot di rumah,” kata Vida.
Walaupun barangan tersebut boleh diganti, bagi Vida, waktu ini amat penting untuk memastikan aset sentimental itu kekal di tangannya.
Pada 30 Oktober lalu, media melaporkan sebanyak 727 barangan milik Vida berjaya dilelong dengan nilai keseluruhan mencecah RM1 juta. Proses lelongan itu dijalankan di banglo mewahnya di Persiaran Bukit Meru, Meru Heights, Ipoh, Perak.
Antara barangan yang dilelong termasuk tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Toyota Grand Hi-Ace dan BMW X7, selain perabot, barangan elektrik dan dekorasi rumah termasuk pasu bunga.
Jelas Vida lagi, dia mengakui berasa sedih dengan proses lelongan tersebut, namun tetap positif dan melihat pengalaman itu sebagai satu pembelajaran berharga.
“Sedih sebab berjuta-juta itu duit saya. Saya berusaha buat ‘sale’, malam-malam buat ‘live’, kalau tak cukup kita cari cara lain. Semua itu kita lalui. Saya rasa Tuhan sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk saya, syarikat saya dan masa depan.
“Walau apa cabaran, saya terima. Insya-Allah, di sebalik ribut dan taufan, pelangi akan bersinar,” tambah Vida.
Proses lelongan 727 barangan milik Vida sebenarnya tertangguh sejak Disember 2024. Sebelum ini, notis perisytiharan jualan lelong telah disiarkan di ruangan iklan akhbar tempatan.
Lelongan dijalankan oleh pemiutang, AH Design Communication Sdn Bhd susulan kegagalan Vida membuat bayaran tertunggak kepada syarikat subkontraktor terbabit.
Sebelum ini, Vida pernah memohon untuk menangguhkan proses lelongan hampir setahun dengan alasan barangan yang disita adalah barangan pinjaman dan mempunyai nilai peribadi yang tidak ternilai.
