“Badan Berisi Gelar Chubby, Bila Kurus Kata Saya Ambil Barang Terlarang”

“Badan Berisi Gelar Chubby, Bila Kurus Kata Saya Ambil Barang Terlarang”

Pelakon, Adam Lee, 31, tampil menjernihkan spekulasi yang timbul berhubung perubahan fizikalnya sejak kebelakangan ini, selepas penampilannya mencetuskan pelbagai reaksi dan andaian tidak berasas daripada segelintir pihak.

Pemilik nama penuh Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee berkata, tubuh badannya mengalami perubahan ketara akibat latihan intensif serta disiplin pemakanan yang ketat sebagai persiapan menghadapi kejohanan sukan tempur.

Menurutnya, apa sahaja perubahan yang berlaku sering disalah tafsir tanpa mengetahui realiti sebenar di sebalik rutin hariannya.

“Ada fasa badan saya berisi, orang gelar chubby. Bila berat turun, mula timbul cerita lain pula, kata kononnya saya sakit, ambil benda terlarang dan macam-macam lagi.

“Hakikatnya, mereka tidak tahu pun perjalanan hidup saya dan apa yang saya lalui,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Tambah suami kepada aktres Sweet Qismina itu, penurunan berat badan bukan sesuatu yang membimbangkan, sebaliknya sebahagian daripada persiapan untuk menyertai pertandingan sukan Muay Thai yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Saya memang sedang bersiap untuk bertanding di Fury Muay Thai pada 28 Disember ini dalam kategori 73 kilogram.

“Selepas perlawanan selesai, saya akan naikkan semula berat badan ke 77 kilogram seperti biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adam turut menzahirkan penghargaan kepada peminat dan rakan industri yang terus menyokongnya tanpa menjadikan fizikal sebagai ukuran.

“Walau saya kurus, berisi atau apa sahaja bentuk badan saya, sokongan yang diberikan itu sangat bermakna buat saya.

“Terima kasih kepada semua yang setia berada di belakang saya,” katanya lagi.

Terdahulu, penampilan Adam di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (APBH37) mencuri perhatian ramai sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi termasuk dakwaan bahawa pelakon itu kelihatan terlalu kurus dan tidak sihat.

Related post

Leave a Reply