‘Azimat’ Angkat Kepercayaan, Trauma & Nasib Saling Berkaitan
Melihat trend semasa pembikinan filem, tidak dinafikan genre seram sememangnya masih lagi menjadi pilihan penonton bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ASEAN khususnya.
Itu yang menjadi dorongan buat syarikat produksi dari Sarawak iaitu Faradale Media-M Sdn Bhd dengan menghasilkan Azimat, sebuah filem yang menggabungkan elemen seram dan psikologi.
Penerbitnya, Kay Rezza Karim berkata, Azimat memiliki keunikan tersendiri yang jarang ada pada filem seram lain iaitu gabungan elemen mistik tempatan dan pergolakan emosi manusia menerusi satu naskhah yang mendalam dan mencengkam.
“Idea menghasilkan Azimat mula tercetus pada tahun 2019 hasil perbincangan bersama dua rakan penulis yang tertarik dengan persoalan bagaimana kepercayaan, trauma dan nasib boleh saling berkaitan dalam kehidupan manusia.
“Kami cuba untuk menghasilkan sebuah cerita seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga mencerminkan sisi emosi dan konflik jiwa seseorang yang berada diambang putus asa,” jelasnya.
Azimat mengisahkan tentang kepercayaan seorang gadis iaitu Hanna terhadap seutas rantai azimat yang diyakini mampu mengubah nasib malang dirinya selepas berjumpa dengan seorang bomoh Iban.
Menariknya, pembikinan filem ini secara keseluruhannya membabitkan anak jati Sarawak, termasuk barisan pelakon utamanya iaitu Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud.
“Dialog yang digunakan pula adalah bahasa Melayu Sarawak, bahasa Iban dan bahasa Inggeris kerana ingin memberi sentuhan keaslian yang unik. Pemilihan Kuching sebagai lokasi penggambaran pula bukan sahaja kerana keindahan visualnya, tetapi sebagai latar sinematik yang kaya dengan budaya dan nilai estetika tersendiri.
“Pada masa sama kami ingin tonjolkan Sarawak bukan sahaja sebagai lokasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat penghasilan karya seni berkualiti dan disebabkan itu juga penggambaran juga dibuat di sekitar Kuching,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kay Rezza yang merangkap pengarah berkata, biarpun Azimat sekadar sebuah cerita rekaan, namun ia diinspirasikan daripada kisah-kisah nyata yang sering berlaku dalam masyarakat, terutama sekali kepercayaan terhadap azimat dan kesan psikologi terhadap mereka yang mengalami trauma.
Malah, dia juga mengakui turut berhadapan dengan beberapa kejadian yang pelik berlaku sepanjang penggambaran dilakukan selama 37 hari.
“Antara kejadian pelik kami pernah alami termasuk mendengar bunyi-bunyi aneh, gangguan peralatan tanpa sebab dan pengalaman mistik yang dialami oleh beberapa kru.
“Apapun penggambaran tetap berjalan dengan lancar dan saya anggap semua yang berlaku itu sebagai satu pengalaman cukup berharga dan ia seolah-olah ‘menghidupkan’ suasana mistik filem di alam nyata,” ujarnya.
Akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 November ini, Kay Rezza berharap karya terbarunya itu mendapat sambutan ramai dengan kelainan yang cuba ditampilkan berbanding filem genre seram lain.
“Harapan saya, Azimat dapat menyentuh hati penonton, bukan sahaja melalui rasa takut, tetapi melalui mesej tentang harapan, pilihan, dan akibat daripada keputusan yang kita ambil dalam hidup,” ujarnya.
