“Awak Kejam Nubhan, Barang Saya Dicampak Depan Rumah”
Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah meluahkan rasa marah dan kecewa apabila mendakwa semua barang miliknya dikeluarkan dari rumah yang didiaminya bersama anak-anak tanpa sebarang pemberitahuan awal.
Lebih menyayat hati, Afifah mendakwa kesemua barangan peribadinya diletakkan dalam keadaan tidak terurus di hadapan rumah ibu bapanya, sedangkan ketika kejadian berlaku dia berada di luar negara.
Menerusi beberapa hantaran di platform Threads, Afifah menyifatkan tindakan Nubhan sebagai tidak berperikemanusiaan serta kejam, apatah lagi dirinya masih memikul tanggungjawab menjaga anak-anak hasil perkahwinan mereka.
“Saya sekarang berada di luar negara dan tak boleh balik. Barang-barang saya diangkut keluar dari rumah yang saya duduki bersama anak-anak tanpa sebarang makluman. Awak kejam, Nubhan. Barang saya dicampak di depan rumah ibu,” tulisnya.
Menurut Afifah, perkara tersebut bukan kali pertama berlaku dan dia turut mendakwa telefon pembantu rumah dirampas selain mempersoalkan keselamatan barangan berharga miliknya seperti wang tunai dan barangan kemas.
“Barang berharga siapa pegang? Duit dan barang kemas saya di mana? Kenapa barang peribadi saya diusik dan dibuang, sedangkan ada barang milik anak-anak?” luahnya lagi.
Afifah turut mendakwa televisyen litar tertutup (CCTV) di kediaman berkenaan telah dinyahaktifkan, sekali gus menyukarkan dirinya memantau keadaan rumah dan keselamatan anak-anak ketika ketiadaannya.
Lebih mengecewakan, Afifah berpendapat sikap bekas suaminya semakin melampau selepas semakin dikenali ramai, selain menafikan dakwaan kononnya Nubhan pernah menghadiahkan rumah, kereta dan klinik kepadanya.
“Semua yang orang kata dia bagi hadiah itu tidak benar. Itu semua hanya untuk konten semata-mata,” dakwanya sambil mempersoalkan keikhlasan dan nilai kemanusiaan bekas suaminya.
Dalam masa sama, Afifah mengakui sudah hilang kesabaran selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri demi menjaga aib, selain berharap isu harta sepencarian dapat dibincangkan secara baik.
Sekadar info, Afifah dan Nubhan mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille, 3.
