Asyraf Khalid Kesal Dengan Caprice, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang

Usahawan dan pengasas Apa Cerita? Podcast, Asyraf Khalid, 33, meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pempengaruh dan penyanyi rap, Caprice yang didakwa telah melakukan ‘serangan’ berterusan terhadap dirinya di media sosial.

Menurut Asyraf, beberapa siri hantaran yang dimuat naik Caprice bukan sahaja mencemarkan reputasi dan imejnya sebagai usahawan, malah turut mengganggu emosi serta memberi kesan buruk kepada perniagaannya.

“Ramai mengecam saya dengan tuduhan melampau seperti pedofilia, ‘body shaming’ dan turut mengheret keluarga saya ke dalam isu ini. Ia sudah mengganggu periuk nasi saya sebagai pemegang saham dan ahli perniagaan.

“Kalau serangan itu hanya tertumpu kepada saya, saya boleh terima. Tetapi kenapa sampai kaitkan bapa saya? Ada yang kata tanpa bapa saya, saya bukan siapa-siapa. Kenyataan sebegitu sangat mengecewakan,” ujaranya dalam satu sidang media khas, pada Jumaat.

Asyraf juga menegaskan bahawa tiada sebarang niat untuk mencetuskan kontroversi dengan episod podcast yang tular, sebaliknya sudah memutuskan untuk tidak menyiarkan kandungan penuh demi menjaga sensitiviti semua pihak.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah berniat mencetuskan kontroversi, apatah lagi mencabar mana-mana pihak.

“Namun apabila serangan demi serangan dilakukan secara tidak bertanggungjawab, bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada keluarga, saya tidak boleh terus berdiam diri.

“Ini bukan lagi soal kandungan media sosial, ini soal maruah dan keselamatan,” ujarnya tegas.

Asyraf turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur pada Khamis lalu. Bagaimanapun, kandungan laporan tidak didedahkan atas nasihat peguam.

“Saya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang terlibat. Ini bukan soal dendam, tapi soal mempertahankan nama baik diri, keluarga, dan pasukan saya yang selama ini bekerja keras,” kongsinya.

Sementara itu, peguam mewakili Asyraf, Abdul Hakeem Aiman mengesahkan tindakan undang-undang sedang dalam proses dan akan difailkan dalam masa terdekat.

“Kami telah meneliti perkara ini dengan teliti. Satu saman fitnah dan saman malu akan difailkan sebagai tindakan sivil. Namun, kami tidak akan mengulas lanjut buat masa ini demi menghormati sistem kehakiman negara,” kongsi Abdul.

Terdahulu, kontroversi tercetus selepas Caprice mempersoalkan tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki sebagai tetamu podcast yang didakwa terlibat dalam beberapa kes kekerasan fizikal.

Caprice kemudiannya memuat naik beberapa siri hantaran menyelar keputusan tersebut dan mendesak penjelasan.

Pihak produksi Apa Cerita? Podcast telah mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf dan menjelaskan bahawa episod tersebut tidak akan disiarkan.

Related post

Leave a Reply