Ashin Mayday Jatuh Pentas Ketika Buat Persembahan
Vokalis utama kumpulan Mayday, Ashin, mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penonton apabila terjatuh daripada pentas semasa mengadakan persembahan di konsert jelajah F Forever di Mercedes-Benz Arena, Shanghai baru-baru ini.
Persembahan tersebut menampilkan tiga anggota kumpulan lelaki Taiwan, F4, iaitu Jerry Yan, Vic Chou dan Van Ness Wu. Ketiga-tiga mereka membuat persembahan menggunakan nama F3 di venue berkenaan pada 19, 20, 21 dan 22 Disember bersama Ashin.
Insiden Ashin terjatuh berlaku ketika lagu Mayday berjudul Party Animal didendangkan. Berdasarkan rakaman video yang tersebar, penyanyi berusia 50 tahun itu sedang berjalan di salah satu sisi pentas empat segi sebelum tersilap langkah lalu terjatuh daripada pentas setinggi kira-kira dua meter.
Van Ness menjadi individu pertama menyedari kejadian tersebut dan segera berlari mendapatkan Ashin, diikuti oleh Vic Chou dan Jerry Yan.
Rakaman turut menunjukkan Wu memeriksa keadaan Ashin dan dilihat menepuk kepala penyanyi itu sebelum kembali ke pentas untuk meneruskan persembahan.
Muzik tidak dihentikan dan persembahan diteruskan dengan lagu seterusnya, Leaving The Earth’s Surface.

Sebelum lagu berkenaan tamat, Ashin kembali naik ke pentas dan menyambung nyanyian. Van Ness dan Vic mencium pipinya sebagai tanda bimbang, manakala Jerry turut berbuat demikian selepas itu.
Menerusi hantaran di Instagram dan Facebook Ashin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan peminat terhadap keadaannya.
“Terima kasih atas keprihatinan semua. Selepas pemeriksaan di hospital, semuanya baik-baik sahaja. Otak saya tidak mengalami kerosakan.
“Saya benar-benar menggunakan setiap masa dan kemampuan yang ada. Namun, saya sangat gembira dan berbesar hati menyahut jemputan penuh semangat daripada F3 untuk berdiri di pentas yang sememangnya milik mereka.
“Saya tidak sanggup membiarkan satu sudut pentas empat segi ini kosong. Saya tidak sanggup membiarkan mereka bertiga menanggung tekanan seorang diri. Dan saya juga tidak sanggup mengecewakan anda semua yang telah menunggu selama 20 tahun.
“Tahun 2025 mungkin bukan tahun terbaik buat anda, namun tahun di mana mereka muncul dalam hidup anda pastinya merupakan tahun paling indah dalam kenangan zaman kanak-kanak dan remaja anda… Walau apa pun, saya mahu menghadiahkan anda momen ini,” tulisnya.
Untuk rekod, anggota keempat F4, Ken Chu, 46, didakwa digugurkan daripada jelajah tersebut selepas mendedahkan beberapa maklumat yang masih belum dimuktamadkan menerusi siaran langsungnya.
