Anna Jobling Berdamai Dengan Ibu – ‘Dia Syurga Saya’
Momen berpelukan antara pelakon, Anna Jobling bersama ibunya, Ariz Arop pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) mengundang perhatian ramai.
Pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu apabila wanita yang membesarkannya itu hadir memberi sokongan pada malam bersejarah tersebut.
Anna menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan kesejahteraan keluarganya.
“Apa pun yang berlaku, dia tetap ibu saya. Syurga saya tetap di bawah telapak kaki ibu saya,” katanya.
Anna menambah, salah faham yang pernah berlaku dalam keluarganya hanyalah satu ujian kecil dalam perjalanan hidup dan menegaskan doa seorang ibu adalah paling utama buat dirinya.
“Walau apa yang berlaku sebelum ini, doa ibu tetap yang paling penting. Kehadirannya malam ini memberi kekuatan kepada saya. Jika tiada dia, saya akan rasa kosong,” luahnya.
Detik spontan pelukan mereka di karpet merah ABPBH37 diikuti sesi bergambar bersama sambil memegang trofi dan seolah-olah menggambarkan hubungan ibu dan anak itu kembali pulih selepas hampir tiga bulan dilanda ketegangan.
Malam tersebut Anna turut diumumkan sebagai pemenang kategori Gandingan Serasi Drama Popular bersama Shukri Yahaya.
Sebelum ini, hubungan Anna dan ibunya menjadi perhatian umum selepas tular video Ariz yang mendakwa dirinya diperlakukan secara tidak wajar dan dihalau oleh peguam keluarga.
Situasi itu kemudian mencetuskan pelbagai spekulasi apabila Ariz memuat naik foto berada di sebuah balai polis, termasuk dakwaan Anna memohon perintah injunksi terhadapnya.
