Andi Bernadee Hidap Hipertiroidisme – “Leher Bengkak, Mulut Penuh Ulser”
Penyanyi, Andi Bernadee, 34, akhirnya menarik nafas lega apabila selesai menjalani rawatan hipertiroidisme di hospital dan kini sudah dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat serta meneruskan pemulihan.
Pemilik nama penuh Andi Azrul Andi Mapangile, sebelum ini dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom serius akibat hipertiroidisme iaitu keadaan kelenjar tiroid menghasilkan hormon secara berlebihan.
Masalah itu menyebabkan lehernya membengkak, dipenuhi ulser dan mengganggu keupayaan untuk makan atau minum.
“Keadaan saya waktu awal memang teruk. Leher bengkak, mulut penuh ulser sampai nak telan air liur pun sakit. Nak minum rasa macam disiat, makan pun hampir mustahil,” katanya menerusi Instagram Story.
Menurut Andi lagi, keadaan dirinya merosot sebelum ke hospital apabila mengalami demam kuat, menggigil, meracau serta degupan jantung yang tiba-tiba menjadi laju, termasuk ketika sedang tidur.
“Saya juga ada simptom seperti sesak nafas, penurunan berat badan, badan bergetar dan kadang-kadang kaki menggeletar. Macam kena serangan panik pun ada,” ujarnya lagi.
Selepas beberapa hari menerima rawatan intensif, Andi kini menunjukkan perkembangan positif dan sudah dibenarkan keluar wad.
Namun, dia perlu meneruskan rawatan susulan serta mengambil ubat untuk tempoh tertentu.
“Doktor maklumkan saya perlu bergantung pada ubat selama enam bulan atau mungkin setahun, bergantung kepada keadaan.
“Sepanjang di hospital bermacam-macam ubat dimasukkan antaranya steroid, ubat hormon, antibiotik, ubat kebas, ubat tahan sakit. Alhamdulillah sekarang keadaan makin stabil,” katanya.
Dalam masa sama, Andi turut menepis pelbagai spekulasi yang timbul mengenai bentuk fizikalnya yang kelihatan terlalu kurus sejak kebelakangan ini.
Dia menegaskan perubahan tersebut bukan disebabkan pengambilan bahan terlarang, pembedahan bariatrik mahupun masalah pemakanan akibat putus cinta.
“Semua itu tak betul. Keadaan saya seperti itu memang berpunca daripada penyakit ini,” jelasnya.
Andi turut memohon doa orang ramai agar kesihatannya terus pulih dan berharap simptom gangguan autoimun tersebut tidak kembali menyerang.
