Anak Sulung Che Ta Selamat Bertunang

Anak Sulung Che Ta Selamat Bertunang

Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan berkongsi khabar gembira apabila anak sulungnya, Ammar Effendy selamat mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hatinya.

Majlis yang diadakan secara tertutup itu berlangsung dalam suasana penuh sederhana dengan dihadiri ahli keluarga terdekat serta rakan rapat kedua-dua belah pihak.

Pada acara berkenaan, Rozita atau mesra disapa Che Ta tampil anggun dalam busana kuning keemasan rekaan pereka fesyen tersohor, Ezuwan Ismail.

Warna tersebut turut menjadi tema seisi keluarga apabila suaminya, Zain Saidin dan anak perempuan mereka, Aaisyah Dhia Rania turut mengenakan persalinan sedondon.

Sementara itu, Ammar kelihatan tampan mengenakan baju Melayu merah jambu lembut sepadan dengan busana tunangnya.

Walaupun banyak berkongsi momen indah di media sosial, Ammar dan Che Ta memilih untuk merahsiakan identiti tunangannya, apabila wajah wanita berkenaan tidak didedahkan dalam hantaran mereka.

Difahamkan, bapa kandung Ammar iaitu Azuar Effendy Zulkaply turut hadir memeriahkan detik istimewa tersebut bersama keluarga besar mereka.

Untuk rekod, Che Ta pernah mendirikan rumah tangga dengan Azuar dan berpisah pada 2003. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang anak lelaki, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.

Kemudian, pada tahun 2013, Che Ta berkahwin dengan pelakon Zain Saidin dan dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rania yang kini berusia 11 tahun.

Related post

Leave a Reply