Anak Nora Ariffin Pilih Buka Tudung – ‘Ibu Cakap Saya Nampak Cantik’

Anak Nora Ariffin Pilih Buka Tudung – ‘Ibu Cakap Saya Nampak Cantik’

Penyanyi, Putri Dahlia, 21, mencuri perhatian apabila tampil tanpa hijab di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini.

Anak kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin itu menjelaskan, keputusan membuka tudung dibuat selepas 15 tahun berhijab kerana mahu memulakan perjalanan baharu dalam memahami agama.

“Saya mula bertudung sejak umur enam tahun. Tapi sebenarnya saya tidak faham agama saya sendiri, saya cuma ikut pakai.

“Sekarang saya mahu belajar, cari jalan sendiri dan lebih rapat dengan Allah walaupun tidak bertudung. Kalau orang nak kecam, ini antara saya dengan Allah,” katanya.

Menolak dakwaan keputusan itu berkait dengan kisah keluarganya, Putri menegaskan itu bukan tindakan memberontak atau mencetuskan kontroversi.

“Apa yang ibu lalui, tiada kena-mengena dengan keputusan saya. Saya tetap sokong ibu dan adik-beradik lain dalam apa jua keadaan,” jelasnya.

Tambahnya, keluarganya termasuk Nora memberi sokongan penuh terhadap keputusan tersebut.

“Ibu cakap saya nampak cantik. Yang penting jadi orang baik, tunaikan solat. Saya pernah beritahu keluarga perkara ini akan berlaku dan mereka terima dengan doa serta restu. Kesihatan mental lebih penting daripada ikut cakap orang,” ujarnya.

Jelas Putri lagi, dia kini memilih untuk tidak terbeban dengan kecaman netizen, sebaliknya menumpukan perhatian kepada muzik serta hubungannya dengan Tuhan.

“Saya tak baca komen netizen. Saya fokus pada album baharu. Lepas ini saya nak guna nama Dahlia sahaja, sebab nama Putri Dahlia terlalu sinonim dengan imej islamik. Saya nak jadi diri saya sendiri,” katanya lagi.

Untuk rekod, Putri Dahlia merupakan anak kepada Datuk Nora dan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 2017 akibat serangan jantung.

Related post

Leave a Reply