BeritaLakon Layar

Along Eyzendy Meninggal Dunia

Pelakon Along Eyzendy dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor kira-kira jam 12.16 tengah malam Ahad.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh isterinya, Hamidah Mohd Yatim, yang memaklumkan bahawa suaminya menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga terdekat.

Pada Khamis lalu, Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, dilaporkan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan serius dalam perut.

Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan, selain disyaki berlaku jangkitan pada stent di saluran hempedu.

Untuk rekod, Allahyarham yang berasal dari Ipoh, Perak memulakan kerjaya seni sebagai peniup trompet sebelum menceburi bidang lakonan sekitar tahun 2003.

Sepanjang penglibatannya dalam industri seni, Along pernah membintangi beberapa filem terkenal antaranya Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang dan Mat Moto.

Selain filem, Allahyarham juga aktif dalam drama televisyen seperti Bini-Bini Perkasa, Keranamu Laila, Sanggul Beracun serta banyak lagi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hamidah Mohd Yatim, dan tiga orang cahaya mata.

Related Articles

Back to top button