Aliff Aziz Sudah Lupakan Episod Hitam, Tempoh ‘Menyepi’ Banyak Muhasabah Diri

Aliff Aziz Sudah Lupakan Episod Hitam, Tempoh ‘Menyepi’ Banyak Muhasabah Diri

Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, 33, menggunakan tempoh ‘menyepi’ sebagai peluang dan ruang untuknya bermuhasabah diri serta berusaha keluar daripada kegelapan yang pernah menyelubungi kehidupannya.

Pemilik nama lengkap Mohammad Aliff Aziz berkata, dia tidak lagi berminat untuk menoleh ke belakang atau mengimbas kisah lama membabitkan isu khalwat dan kemelut rumah tangga yang pernah mengundang perhatian ramai.

Sebaliknya, fokusnya kini tertumpu kepada usaha memperbaiki diri dan membina semula kehidupan selain mengembangkan karier seninya.

“Saya banyak luangkan masa dengan keluarga, buat refleksi diri dan sebagainya. Saya tak nak cerita panjang lebar mengenai apa yang sudah berlalu. Bagi saya, ini masa untuk terus melangkah ke hadapan.

“Tidak lama lagi hendak masuk 2026. Saya hanya mahu fokus memperbaiki hidup. Ada beberapa perancangan saya sudah buat untuk tahun depan. Itu fokus saya sekarang. Saya sudah tidak mahu tengok ke belakang terutama apa yang sudah berlaku.

“Saya fikir, tidak perlu saya bercakap soal masa lalu kerana apa yang sudah berlalu, tetap berlalu. Tidak perlu lagi untuk saya ingat semula sedangkan semua orang sudah maju ke depan,” katanya.

Pelantun lagu Sayang-Sayang itu menjelaskan, walaupun jarang muncul di kaca televisyen, dia masih aktif dalam bidang nyanyian dan sering memenuhi undangan persembahan.

Malah, Aliff turut menafikan dakwaan dia sudah ‘hilang’ daripada radar industri seni.

“Menghilangkan diri itu tidak. Sekarang, saya percaya kepada rezeki dan apa yang sudah disusun untuk saya pada masa akan datang. Apa yang akan berlaku, tetap berlaku dan kita akan lihat nanti.

“Kalau terlalu fikir apa yang akan jadi pada masa depan termasuk bagaimana rezeki, nanti kita akan tertekan. Saya percaya rezeki ada di mana-mana.

“Saya rasa lebih baik kita terus jalani hidup seperti biasa, insya-Allah. Saya akan teruskan perjalanan itu. Apa yang penting, setiap hari melangkah selangkah ke hadapan,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai hubungan bersama anak-anaknya, Aliff memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut kerana menganggap perkara itu terlalu peribadi dan sensitif untuk dikongsikan secara terbuka.

Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.

Namun, pada 13 Jun 2024, pasangan itu dilaporkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Aliff juga pernah terpalit kontroversi atas dakwaan ditangkap khalwat dengan aktres Ruhainies pada Mac 2024.

Related post

Leave a Reply