BeritaViral

Aksi Jururawat Suap Pesakit Dengan Tangan Undang Sebak Netizen

Satu ‘perbuatan’ kecil penuh kasih sayang dalam wad di sebuah hospital telah menyentuh hati rakyat Malaysia.

Seorang senator, Dr Lingeshwaran, berkongsi satu hantaran di Facebook memuji seorang jururawat bernama Nurdina yang bertugas di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang selepas sebuah video yang memperlihatkan dirinya menyuap seorang pesakit lelaki berbangsa India menggunakan tangan kosong tular di media sosial.

Detik menyentuh perasaan itu segera menarik perhatian, dengan ramai yang menyifatkannya sebagai satu paparan empati dan keikhlasan yang jarang dilihat.

Dalam rakaman tersebut, Nurdina kelihatan sabar menyuap pesakit yang terlantar di katil tanpa menggunakan sarung tangan atau sudu.

Sebaliknya, dia menggunakan tangannya sendiri dengan penuh berhati-hati untuk membantu pesakit itu makan. Tindakan Nurdiana dilihat sebagai satu perbuatan biasa tetapi sarat dengan makna tentang empati, maruah dan kemanusiaan.

Ramai yang menonton video itu mengaku mereka sebak dan menitis air mata.

Dalam hantaran, Dr Lingeshwaran mengucapkan terima kasih kepada Nurdina kerana menjadi sumber kekuatan kepada pesakit ketika mereka berada dalam keadaan paling lemah.

“Di atas katil hospital, apa yang paling pesakit perlukan ialah penjagaan, perhatian dan kasih sayang.

“Detik ini bukan dirakam untuk kamera, bukan juga untuk pujian atau tepukan. Ia hanyalah dedikasi senyap dan khidmat yang ikhlas. Inilah cerminan sebenar Malaysia,” tulisnya.

Dia menambah, dalam saat kelemahan dan ketidakberdayaan, hal yang paling penting bukanlah bangsa atau agama, tetapi kehangatan nilai kemanusiaan.

Dalam masa sama, ruang komen turut dipenuhi dengan pujian.

Ramai netizen menyifatkan tindakan menyuap pesakit dengan tangan, tanpa sarung tangan, menunjukkan tahap keikhlasan dan kelembutan yang melangkaui tugas profesional semata-mata.

“Suap dengan tangan sendiri. Bukan jijik. Tahniah. Jururawat yang bekerja dengan hati dan jiwa,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi netizen turut mengingatkan bahawa jururawat telah lama berkhidmat kepada masyarakat tanpa banyak pengiktirafan di alam maya, sambil menegaskan betapa besar sumbangan mereka kepada masyarakat.

Related Articles

Back to top button