Aerotrain Alami Gangguan Ke-21 Sejak Julai, Anthony Loke Akui Malu
Kerosakan terbaharu sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 baru-baru ini menjadi bahan bualan ramai orang.
Kejadian yang berlaku pada pagi 28 Oktober lalu itu menyaksikan penumpang terpaksa menarik beg mereka sambil berjalan di atas landasan selepas pengangkutan itu tiba-tiba rosak semasa beroperasi.
Insiden berkenaan menandakan gangguan ke-21 sejak sistem tersebut mula beroperasi semula pada Julai lalu.
Dalam sesi Parlimen sehari kemudian, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan dan mengecewakan.
“Saya rasa malu melihat penumpang berjalan di atas landasan. Saya berkongsi rasa kecewa yang mendalam seperti yang dirasai ramai dalam Dewan ini,” katanya.
Beliau mengesahkan bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan.
Loke menjelaskan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, di mana pengendali boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan. Namun, beliau menegaskan bahawa prosedur sewajarnya perlu dipatuhi sebelum sebarang hukuman dikuatkuasakan.
Menteri itu juga menekankan bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu memastikan kontraktor yang terlibat bertanggungjawab kerana gagal memenuhi piawaian perkhidmatan yang ditetapkan.
Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memikul tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan awam yang cekap dan berintegriti.
Walaupun menghadapi masalah berulang, Loke berkata kerajaan tidak bercadang untuk menggantung operasi Aerotrain.
Sebaliknya, MAHB telah diarahkan untuk mendapatkan jaminan prestasi daripada pengeluar peralatan asal (OEM)bagi memastikan aspek keselamatan dipertingkatkan.
Beliau turut mendakwa bahawa Aerotrain mencatatkan kadar kebolehpercayaan 99 peratus sepanjang tiga bulan lalu, walaupun gangguan masih berlaku dari semasa ke semasa.
