ADOR Umum Tindakan Undang-Undang Lindungi Bagi NewJeans, Beri Amaran Terhadap Fitnah & Deepfake
ADOR mengumumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi hak dan kepentingan kumpulan NewJeans.
ADOR memberitahu, mereka sentiasa memantau apa yang diperkatakan wargamaya di platform media sosial.
“Sejak debut NewJeans, kami sentiasa memantau komuniti dalam talian tempatan dan antarabangsa, platform muzik serta saluran media sosial.
“Kami sedang memohon pemadaman segera terhadap hantaran yang melanggar hak artis dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas. Kami juga bertindak tegas terhadap platform berpengkalan di luar negara tanpa pengecualian,” ujar agensi berkenaan.
Sejak kebelakangan ini, ADOR menjelaskan yang berita palsu, pencerobohan privasi, penghinaan dan kata-kata bersifat merendahkan yang ditujukan kepada NewJeans semakin meningkat.
Susulan itu, agensi memberi amaran dan merancang untuk memfailkan aduan jenayah terhadap individu yang memuat naik kandungan berniat jahat di platform utama seperti Naver News, DC Inside, Instiz, Nate Pann, MLB Park dan Theqoo.
Berhubung jenayah deepfake, ADOR menegaskan pendirian yang lebih keras.
“Baru-baru ini, pelaku dalam kes deepfake meminta penyelesaian luar mahkamah, namun kami menolaknya dan memaklumkan kepada pihak siasatan tentang niat kami untuk menuntut hukuman yang tegas.
“Kami sentiasa berterima kasih atas kasih sayang dan dedikasi peminat, dan kami akan terus berusaha melindungi hak artis kami,” kata mereka.
Terdahulu, kesemua lima ahli NewJeans memilih untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan perbicaraan pertama dalam kes kesahihan kontrak eksklusif, yang mereka tewas pada 14 haribulan. Akibatnya, keputusan mahkamah pertama yang mengesahkan kesahihan kontrak eksklusif mereka dengan ADOR menjadi muktamad.
Dalam kalangan ahli NewJeans, Hyein dan Haerin secara rasmi mengumumkan kepulangan mereka ke ADOR melalui agensi tersebut. Minji, Danielle dan Hanni turut menyatakan hasrat untuk kembali pada hari yang sama, namun dengan jadual yang sedikit berbeza. ADOR menyatakan bahawa mereka kini sedang “menyelaraskan pertemuan individu” bersama ahli-ahli berkenaan.
Sumber: ALLKPOP
