Mulakan 2026 Dengan ‘Yes’, Didi Astillah Terima Lamaran Kekasih
Penyanyi dan pelakon, Didi Astillah berkongsi khabar gembira apabila menerima lamaran kekasihnya, Diniey Ng, pada malam sambutan ambang tahun baharu 2026.
Momen istimewa itu dikongsikan pemilik nama lengkap, Dayang Nazilah Awang Astillah menerusi hantaran di Instagram dengan kapsyen ringkas berbunyi, “Mulakan tahun baharu dengan ‘yes’”.
Jawapan Didi itu sekali gus mengesahkan penerimaan lamaran tersebut yang disifatkan sebagai permulaan manis bagi tahun 2026.
Bagaimanapun, pasangan itu masih belum memperincikan sama ada lamaran berkenaan akan disusuli dengan majlis merisik secara rasmi atau pertunangan dalam masa terdekat.
Detik penuh bermakna itu berlaku seiring dengan percikan bunga api yang menghiasi langit, menandakan detik masuknya tahun baharu.
Menerusi video yang tular di media sosial, Diniey dilihat melutut sambil menyerahkan sebentuk cincin kepada Didi ketika berlangsungnya konsert ambang tahun baharu di Sunway City Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Turut mencuri perhatian, lelaki berbangsa Tionghua itu kemudian bersalaman dengan ibu Didi, Siti Zarina Roslan yang berada di sisi pasangan berkenaan pada ketika itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan selebriti tidak henti-henti mengucapkan tahniah serta mendoakan agar pasangan tersebut segera ke jenjang pelamin.
