Lelaki Sepanyol Terima Pampasan RM101,000 Gara-Gara Saiz Zakar Mengecil Lepas Operasi Pembedahan
Seorang lelaki di Sepanyol diberi pampasan sebanyak RM101,000 selepas satu pembedahan menyebabkan komplikasi jangka panjang, termasuk pengurangan ketara pada panjang zakarnya.
Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kehakiman di wilayah Murcia, yang mengarahkan penyedia perkhidmatan kesihatan awam serantau membayar pampasan kepada pesakit berkenaan selepas pertikaian undang-undang yang berlarutan.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki tersebut mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Rosell di Cartagena pada Oktober 2011 selepas mengalami ereksi yang menyakitkan serta kelengkungan zakar yang ketara.
Seperti dilaporkan oleh media, doktor kemudiannya mendiagnosis beliau menghidap penyakit Peyronie, iaitu satu keadaan yang menyebabkan kelengkungan tidak normal akibat pembentukan tisu parut.
Pada peringkat awal, dia menerima rawatan perubatan, namun apabila keadaannya tidak menunjukkan sebarang peningkatan, pembedahan disarankan sebagai langkah seterusnya. Selepas menjalani pembedahan, lelaki itu dilaporkan mengalami masalah disfungsi erektil.
Lebih ketara, panjang zakarnya berkurang sehingga enam sentimeter, satu perubahan kekal yang memberi kesan besar terhadap kualiti hidupnya.
Pesakit tersebut kemudiannya memfailkan tuntutan terhadap pihak berkuasa kesihatan wilayah, dengan alasan bahawa beliau tidak dimaklumkan sepenuhnya mengenai risiko-risiko yang berpotensi berkaitan prosedur tersebut.
Walaupun lelaki itu telah menandatangani borang persetujuan sebelum pembedahan, mahkamah memutuskan bahawa dokumen berkenaan tidak mencukupi.
Panel hakim mendapati borang itu gagal menjelaskan pilihan rawatan alternatif secara jelas dan tidak menerangkan dengan memadai komplikasi yang mungkin timbul akibat pembedahan tersebut.
Disebabkan itu, mahkamah menyimpulkan bahawa pesakit berkenaan tidak dapat membuat keputusan yang benar-benar dimaklumkan sebelum menjalani pembedahan. Tuntutan pampasan awal lelaki tersebut sebelum ini telah ditolak oleh pihak berkuasa kesihatan wilayah.
Namun begitu, mahkamah menerima rayuannya dan memutuskan memihak kepadanya, sekali gus mengarahkan badan kesihatan awam membayar pampasan sebanyak 20,000 euro (RM101,000).
