Di Fasa ‘Kritikal’, Zehra Zambri Tebalkan Muka Cari Rezeki Demi Anak
Penyanyi Zehra Zambri, 38, mengakui terpaksa mengetepikan rasa malu demi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak tunggalnya, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.
Zehra berkata, kehidupannya ketika ini berada pada tahap paling mencabar sehingga memaksanya membina semula hidup dari titik permulaan.
“Saya sedang berada dalam fasa yang sangat kritikal. Saya perlu bangkit semula dari bawah kerana ada anak yang perlu saya sara.
“Perkahwinan terdahulu banyak mengubah hidup saya. Bukan sahaja emosi, malah kewangan saya juga terjejas teruk apabila hak saya dicabuli,” katanya menerusi satu hantaran.
Dalam usaha meneruskan kehidupan, Zehra secara terbuka menawarkan khidmatnya sebagai penyanyi sekiranya ada pihak yang memerlukan persembahan pentas.
“Saya mahu bekerja semula. Kalau ada yang perlukan penyanyi untuk acara atau persembahan, boleh hubungi saya. Untuk makluman, saya juga merupakan finalis Gegar Vaganza musim ke-11,” ujarnya.
Menurut Zehra, ramai lebih cenderung menilai dirinya berdasarkan isu rumah tangga berbanding bakat seni yang dimiliki sejak sekian lama.
“Orang lebih fokus pada kisah perceraian dan kes pukul berbanding kemampuan saya sebagai seorang penyanyi.
“Saya tidak malu berkongsi luahan ini kerana perceraian adalah ujian paling berat dalam hidup saya.
“Dulu mungkin saya selesa, tetapi selepas semuanya berlaku, saya kehilangan kerjaya, reputasi dan juga kestabilan dalaman,” jelasnya.
Tambah Zehra, buat masa ini dia bergantung sepenuhnya kepada simpanan untuk menyara kehidupan harian, sambil berusaha mencari peluang baharu dalam bidang seni.
“Banyak perancangan terpaksa ditunda. Saya harap dengan luahan ini, pintu rezeki saya akan terbuka.
“Sekarang pun banyak acara lebih memilih konsep muzik atau tradisional. Saya harap ada peluang untuk saya kembali,” katanya.
Untuk rekod, Zehra bercerai dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi pada Ogos lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
