Niat Jual Lamborghini Musnah, Lelaki Kantoi Pandu Kereta Mewah Tanpa Lesen & Cukai Jalan Tamat Tempoh

Niat Jual Lamborghini Musnah, Lelaki Kantoi Pandu Kereta Mewah Tanpa Lesen & Cukai Jalan Tamat Tempoh

Apa yang sepatutnya menjadi transaksi lumayan bagi seorang lelaki muda bertukar menjadi mimpi ngeri selepas dia ditahan kerana melanggar beberapa undang-undang jalan raya.

Operasi yang dinamakan ‘Ops Luxury’ itu dijalankan semalam (28 Dis) di susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) kira-kira jam 10.05 pagi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lapor Kosmo!.

Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu dalam perjalanan ke Setia Alam untuk menjual sebuah kereta Lamborghini.

Bagaimanapun, hasrat lelaki itu terbantut apabila pegawai JPJ memintasnya dalam operasi tersebut dan mendapati dia telah melakukan dua kesalahan iaitu tiada nombor pendaftaran dipamerkan pada bahagian hadapan kereta dan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh sejak 15 bulan yang lalu.

Apabila disoal siasat, lelaki tersebut memberi alasan bahawa dia tidak memperbaharui insurans dan LKM kereta mewah itu kerana kenderaan tersebut mahu dijual.

Selain daripada kesalahan yang dinyatakan, pemeriksaan lanjut turut mendedahkan bahawa pemandu tersebut mempunyai rekod lampau, termasuk gagal mematuhi had laju, tidak mempunyai lesen memandu yang sah, dan memiliki lesen memandu percubaan (P) yang telah tamat tempoh.

Kereta Lamborghini itu kemudiannya disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasaan (SPK) Ijok untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azrin berkata JPJ Selangor akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan terhadap semua aduan yang diterima.

“Ini adalah bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” tambahnya.

Related post

Leave a Reply